Selagi boleh bergerak dan bertarung, saya akan terus berlakon - Jackie Chan
Media Hiburan
April 15, 2023 17:26 MYT
April 15, 2023 17:26 MYT
FILEM berjudul "Ride On" memberi penghormatan kepada bintang filem antarabangsa Jackie Chan atas sumbangannya selama 60 tahun dalam industri filem hiburan.
Bakal menemui penonton di pawagam bermula 13 April ini, filem aksi komedi itu dibawakan oleh Pemegang Hak Pengedaran Malaysia, Shanghai Pictures Sdn Bhd dan diedarkan oleh Lotus Five Star dengan rakan pemasaran Infinity Entertainment Marketing.
Menerusi naskhah berkenaan, Jackie Chan mendukung peranan sebagai ‘stuntman’ bernama Luo yang tinggal bersama kuda kesayangannya yang dipanggil Red Hare.
Pada suatu hari, Luo menghubungi anak perempuannya Bao (Liu Haocun) dan teman lelakinya Mickey (Kevin Guo) untuk mendapatkan bantuan bila kehidupan mereka mula diancam oleh pemungut hutang untuk melelong kuda peliharaannya itu.
Penulis dan pengarah filem tersebut, Larry Yang turut memberi penghormatan kepada Ikon Global Antarabangsa itu apabila menerapkan pelbagai babak yang bakal menjentik hati para peminat.
“Saya peminat tegar Jackie Chan dan ia adalah impian seumur hidup untuk bekerjasama dengannya di dalam sebuah filem.
"Selepas menonton dokumentari tentang lagak ngeri, saya menulis cerita ini dan langsung mengajukannya kepada Jackie Chan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Jackie Chan turut akui tersentuh mengetahui mengenai jalan cerita "Ride On" sekali gus bersetuju untuk menjadi teraju utama.
“Sebahagian daripada kisahnya membuat saya menangis, dan bagi saya, untuk menunjukkan ‘semangat lagak ngeri’ kepada dunia, bermakna saya mesti melibatkan diri dalam filem ini!
“Selagi saya masih boleh bergerak dan masih mampu bertarung, saya akan terus berlakon dalam filem.
"Ini adalah cara saya untuk menunjukkan kasih sayang dan penghargaan saya kepada semua peminat saya di seluruh dunia atas sokongan mereka selama ini,” katanya lagi.
“Dari seorang yang tidak dikenali hingga sekarang, saya telah mendapat sokongan peminat di seluruh dunia.
"Selagi saya mampu, saya berharap dapat membuat filem setiap tahun untuk penonton dan peminat,” katanya. -Media Hiburan