Sektor korporat diperlukan bagi bantu kebangkitan industri seni - Tengku Zafrul

Faris Danial Razi
November 3, 2021 00:17 MYT
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bakat seni dalam negara perlukan sokongan korporat bagi membolehkan mereka untuk terus bergerak ke hadapan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sektor korporat perlu memainkan peranan dalam memperkasa, mempromosi, melindungi dan memelihara seni, budaya dan warisan negara.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bakat seni dalam negara perlukan sokongan bagi membolehkan mereka terus bergerak ke hadapan.
“Lebih banyak sokongan daripada sektor korporat juga diperlukan. Sokonglah usaha sama kebudayaan bersama galeri-galeri tempatan untuk membantu membina bakat anak-anak seni kita.
“Upahlah penghibur dan kumpulan kebudayaan tempatan untuk acara pada masa hadapan kerana inilah caranya untuk kita membantu punca rezeki mereka agar mereka mampu bergerak ke hadapan,” ujar Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan TripART dan CIMB Artober Hotel Art Fair 2021 di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu malam.
BACA: Bajet 2022: Cukai Makmur bantu biaya kos kesihatan negara - Tengku Zafrul
BACA: Kenaikan had hutang 65 peratus untuk biaya defisit bajet jangka sederhana - Zafrul
Sementara itu, katanya sokongan dan komitmen kerajaan kepada industri seni dicerminkan melalui peruntukan kerajaan yang bernilai RM238 juta.
Ini termasuk RM30 juta menerusi skim padanan pinjaman pelaburan bagi inisiatif platform animasi negara yang akan dikendalikan oleh MyCreative Ventures.
“Saya ingin menekankan bahawa bukan ini sahaja yang boleh dimanfaatkan oleh bakat-bakat seni kita.
“Jika mereka mempunyai perniagaan, mereka juga boleh memanfaatkan bantuan yang secara keseluruhannya bernilai RM40 bilion bagi memperkasakan usahawan tempatan.
“Khusus bagi perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), peruntukan kredit mikro bernilai RM1.8 bilion telahpun tersedia, ada yang dengan moratorium enam atau 12 bulan, dan dengan kadar 0%.
“Jadi, gunakanlah bantuan-bantuan ini sebaik mungkin bagi mengembangkan perniagaan seni masing-masing kerana your active participation is needed for the economy to grow again,” tambah beliau lagi.
Tengku Zafrul pada masa sama memberitahu, melalui program seperti TripART dan CIMB Artober ini, sekurang-kurangnya RM3 juta akan dijana melalui pembelian karya-karya bakat-bakat seni.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #TripART #usahawan #industri seni