'Sekarang baru merasa, seksa juga' - Wawa Zainal dijangkiti COVID-19

Gempak
Februari 20, 2022 09:45 MYT
Wawa Zainal reda apabila dia disahkan positif COVID-19 sejak tiga hari lalu. -Gempak
PELAKON Wawa Zainal reda apabila dia disahkan positif COVID-19 sejak tiga hari lalu.
Tidak pasti mana puncanya, Wawa memberitahu dia disahkan positif COVID-19 selepas menjalani penggambaran untuk produk baharu keluarannya.
“Sebenarnya tiga hari lepas saya ada penggambaran dan balik rumah saya demam. Buat ujian kendiri keputusan negatif dan saya ingat saya hanya penat sebab tak cukup tidur.
“Bila masih demam saya buat lagi ujian COVID-19 sekali lagi semalam dah ia menunjukkan positif.
"Tak pasti saya dapat dari mana kerana setahu saya tiada kontak rapat,” katanya kepada Astro Gempak.
Wawa memaklumkan perkara itu selepas dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkaitan posting di Insta Story miliknya.
Mengulas lanjut mengenai simptom yang dialami, Wawa memberitahu dia mengalami demam panas dan sakit kepala yang agak teruk.
“Selalunya saya jadi kontak rapat sahaja dan belum pernah dijangkiti sehingga ada orang kata saya ni kalis COVID-19.
“Tapi kali ini, kalau Tuhan kata dia nak bagi penyakit tu kenalah, kan? Sekarang ni baru merasa, seksa juga COVID-19 ni.
“Selain demam saya tidak tahan kerana mengalami sakit kepala yang amat kuat. Saya sejenis jarang sakit.
"Bila sakit ni saya tak gemar kalau boleh nak cepat-cepat sembuh,” ceritanya.
Pun begitu Wawa bersyukur kerana suaminya, Aeril Zafrel dan juga anak-anak selamat dan negatif COVID-19.
“Saya bersyukur setakat ni semua masih terima keputusan negatif bila buat ujian kendiri.
“Saya sahaja kuarantin di dalam bilik rumah ini. Aeril yang akan menjaga anak-anak,” ujarnya.
Wawa juga terpaksa membatalkan banyak urusan pekerjaan yang melibatkan perniagaannya selepas disahkan positif COVID-19.
Sebelum ini Aeril telah dua kali dijangkiti COVID-19 dan melakukan kuarantin kendiri di rumah.
Sekadar info, Wawa dan Aeril yang berkahwin pada tahun 2012 itu telah dikurniakan empat orang cahaya mata.
*Artikel asal di Gempak
#COVID-19 #Aeril Zafrel #Wawa Zainal #kuarantin kendiri
;