Sejoli, cinta boleh buat orang jadi gila
Azyyati Ahmad
Februari 20, 2014 12:37 MYT
Februari 20, 2014 12:37 MYT
Walaupun tewas merebut perhatian penonton dalam kutipan panggung wayang untuk filem Cun, Osman Ali sekali lagi tampil dengan filem bergenre yang sama, Sejoli.
Bagi pengarah yang pernah meletup dengan filem Ombak Rindu dan Anak Halal ini, filem bergenre komedi romantik punya cabarannya yang tersendiri.
Menurut Osman, adalah lebih mudah membuat orang menangis dari ketawa.
“Untuk buat orang ketawa dalam masa yang sama tersentuh merupakan satu cabaran, mudah untuk buat orang menangis dari ketawa” katanya kepada ketika ditemui Astro AWANI.
Mensasarkan Sejoli untuk tontonan remaja, Osman mengambil inspirasi pasangan bercinta yang menghadapi masalah dalam membuat keputusan untuk berumah tangga.
“Kadang-kadang cinta boleh buat orang jadi gila, untuk filem ini saya mendapat inspirasi dari pasangan muda yang bercinta, konflik dan kekeliruan yang mereka hadapi” katanya lagi.
Sejoli menggandingkan beberapa nama sinonim dengan filem-filemnya sebelum ini seperti Maya Karin, Bront Palarae dan Remy Ishak.
Turut membintangi filem itu ialah pelakon izara Aishah, Dira Abu Zahar dan Azad Jazmin.
Filem ini telah menjalani pengambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Phuket, Thailand.
Sejoli membawa penonton mengikuti perjalanan Joe (Bront Palarae) ke Phuket selepas hatinya hancur ditinggalkan kekasihnya Nita (Izara Aishah).
Ketika hendak bertolak ke sana, Joe bertemu dengan Gina (Maya Karin) yang turut ke Phuket selepas ditinggalkan kekasihnya, Hardy (Remy Ishak).
Selepas berlaku beberapa insiden yang turut menyatukan mereka, Gina dan Joe juga mendapat tahu bekas kekasih masing-masing rupa-rupanya hangat bercinta.
Mereka juga berpakat untuk membantu antara satu sama lain untuk melupakan bekas pasangan masing-masing.
Adakah filem ini mampu mengembalikan nama Osman Ali selepas Cun? Saksikan tayangannya bermula 20 Februari ini.