'Sejak mengandung, Almy makan sedikit sahaja, berat badan turun mendadak' - Fizz Fairuz
Gempak
Julai 20, 2018 19:32 MYT
Julai 20, 2018 19:32 MYT
KIRA-kira empat bulan lagi, pasangan Datuk Fizz Fairuz dan isterinya, Datin Almy Nadia bakal menimang cahaya mata ketiga.
Pelakon Fizz Fairuz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin mendedahkan isterinya, Almy Nadia mengalami alahan kepada bau-bauan dan makanan sehingga sekarang.
Sarat hamil lima bulan, Almy dijangka melahirkan cahaya mata ketiga mereka pada 22 Disember ini.
"Bayangkan dia mengalami alahan dengan bau busuk, bau wangi dan bau makanan. Sejak mengandung ini, Almy makan sedikit sahaja.
"Sebagai suami, ia memberi kerisauan kepada saya kerana berat badannya juga tidak konsisten," kata Fizz.
Dalam pada itu, Fizz turut mendedahkan berat badan Almy turun mendadak iaitu daripada 80 kilogram sehingga 70 kilogram.
"Berat badan Almy kena kekal dalam lingkungan 80 kilogram, kalau tidak, ia akan memberi kesan kepada bayi di dalam perut.
"Walaupun Almy masih mengalami alahan tetapi dia tetap berkeras ingin menjaga sendiri dua puterinya," kata Fizz kepada Gempak.
Fizz dan Almy mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang.
Pasangan itu turut memiliki dua cahaya mata perempuan Nur Afrina Arianna, 3 tahun dan Nur Aurora, 2 tahun.- Teks: Noor Zulaikha Yusof
#Almy Nadia
#anak
#Fizz Fairuz
#karier
#mengandung
#Mohd Fairuz Zainal Abidin
#Nur Afrina Arianna
#Nur Aurora