"Sedekahkan Al-Fatihah kalau saya 'pergi'"- M Daud Kilau
Abd Razak Mohd Ali
September 30, 2020 18:23 MYT
September 30, 2020 18:23 MYT
BAGAN DATUK: Kalau sudah namanya seniman, dalam apa situasi sekalipun, kecintaan pada seni tidak pernah pudar.
Apa lagi selepas lebih lima dekad lamanya berjuang di pentas menghiburkan masyarakat, rutin itu bagaikan terapi buat anak seni seperti seniman terbilang negara, Datuk M Daud Kilau.
Namun, kegemilangan dan kemasyhuran yang pernah dijulang beliau dahulu, kini semuanya bagaikan tiada erti lagi buatnya.
Sinonim dengan gelaran Raja Gelek Malaysia, kehidupan M Daud Kilau yang selesa disapa Pak Daud hari ini sudah berbeza.
Seiring dengan usianya yang sudah mencecah 82 tahun, kudrat anak jati kelahiran Bagan Datuk, Perak ini semakin terbatas.
Keadaan kesihatannya semakin uzur sejak 2016 selepas mengidap komplikasi buang air kecil.
Sejak itu, beliau terus diduga dengan ujian penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, kebas tangan dan kaki selain sakit pinggang, keadaan jantung yang tidak stabil.
Bahkan, pendengaran sebelah telingannya juga sudah semakin merosot dan sekiranya mahu ke biik air, Daud perlu dipapah ahli keluarganya.
“Hendak berjalan pun sudah tidak lalu sangat, solat juga atas bangku. Saya bergantung dengan ubat, dua tiga bulan sekali akan ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk pemeriksaan kesihatan.
“Saya kini banyak menghabiskan masa dan sisa hidup mencari saham akhirat," katanya mendedahkan ujian yang sedang dilaluinya kepada sekumpulan wartawan yang menziarahi beliau di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh, dekat sini, pada Rabu.
M Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu tinggal bersama isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, 63, dan seorang anak lelaki.
Sekalipun, sedang melalui kehidupan yang serba mencabar, namun, jauh di sudut hati, M Daud tidak pernah melupakan peminat-peminat yang selama ini menjadi tunggak kejayaannya dalam gelanggang seni.
Kata M Daud yang pernah menjuarai Bintang Radio 1968, beliau sentiasa medoakan peminat-peminatnya berada dalam keadaan yang baik.
“Saya doakan semua panjang umur dan murah rezeki, doakan juga Daud Kilau lekas baik.
“Kalau tak baik tidak apa (tapi) kalau saya 'pergi', doakan selamat pergi dan sedekahkan Al-Fatihah," kata pengibur legenda tanah air itu lagi.
Sejak keuzuran, M Daud berkata, kerjaya seninya turut terhenti kerana beliau tidak mampu untuk memenuhi undangan nyanyian baik di dalam mahupun di luar negara.
Mengakui masih rindu untuk beraksi di pentas sambil menggayakan lebih 100 helai baju-baju penuh dengan labuci yang menjadi identitinya, M Daud berkata, beliau sedia memenuhi jemputan sekiranya kesihatannya mengizinkan.
"Saya sayang dan merindui peminat saya. Kalau kesihatan sudah baik, Insya-Allah akan memenuhi undangan dan bertemu mereka,” ujar bapa kepada dua orang anak dan sembilan cucu ini lagi menyambung perbualan.
Terdahulu, dalam pertemuan yang sama, seniman sepanjang zaman itu turut menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin.
M Daud Kilau turut menerima bantuan awal daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Mohd Akmal.
Menurut Mohd Akmal, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan melihat bantuan yang bersesuaian
untuk penyanyi veteran itu.
"Kita prihatin dengan keadaan kesihatan Datuk M Daud Kilau yang uzur ketika ini dan Baitulmal akan membuat pemeriksaan lanjut untuk melihat bentuk bantuan yang akan disalurkan nanti," kata beliau.
#M Daud Kilau
#M Daud Kilau uzur
#Seniman
#Cek Mek Molek
#Raja Gelek
#Bagan Datuk
#Perak
#Bintang Radio 1968