Sedang jalani pemulihan akibat COVID-19, Fazli Zainal ucap terima kasih kepada peminat
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 6, 2021 23:56 MYT
Ogos 6, 2021 23:56 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi Fazli Zainal yang disahkan positif COVID-19 kira-kira seminggu lalu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi mendoakan kesembuhannya.
Menerusi Instagramnya, pelantun lagu Harapan itu turut mendoakan kesejahteraan kepada semua peminatnya.
“COVID-19 is real. Terima kasih pada semua yang sudi mendoakan kesembuhan saya. Semoga Allah melindungi anda semua juga. Tiada kuasa & takdir yang mampu melawan kehendak-Nya,” ujarnya.
Dia pada masa sama memberitahu sedang menjalani proses pemulihan dan yakin dengan ketentuan Allah.
“Alhamdulillah saya syukur walaupun masih proses penyembuhan. Saya yakin Allah yang menghidupkan dan mematikan hamba-Nya yang DIA kehendaki. Syukur Alhamdulilah terima kasih Allah terima kasih semua,” katanya lagi.
Pada 31 Julai lalu, Fazli dikejarkan ke Hospital Ampang selepas tahap oksigen dalam badan menurun kepada 75 peratus dan memerlukan bantuan pernafasan.
Difahamkan, Fazli menjalani ujian saringan sehari sebelum itu dan disahkan positif COVID-19.