'Sebenarnya saya bukan lupa lirik' - Zamani dedah situasi sebenar

Gempak
November 12, 2018 08:10 MYT
Zamani semasa menyanyi lagu Ku Dekat Padamu pada segmen pertama Konsert Separuh Akhir GV5 pada Ahad, 11 Nov, 2018. - Astro GEMPAK
PENYANYI Zamani Slam menafikan kegagalan menyanyi di segmen pertama Konsert Separuh Akhir Gegar Vaganza musim kelima (GV5) adalah kerana lupa lirik.
Sebaliknya Zamani mendedahkan bahawa dia gagal mendengar alat pendengaran atau ‘earpiece’ ketika hendak menyanyi lagu Ku Dekat Padamu nyanyian Yusry KRU.
“Masalah sebenar saya sendiri tak dapat pastikan. Saya masih lagi menunggu post mortem untuk konsert ini.
“Apa yang boleh saya katakan, saya tak dengar apa-apa dari ‘earpiece’ ketika itu.
“Jadi saya tidak tahu bila nak masuk nyanyian. Saya tak boleh nak agak bila nak masuk kerana saya tidak mendengar apa-apa dari earpiece saya.
“Saya tak mahu salahkan sesiapa termasuk pihak produksi sebaliknya saya anggap ia salah saya,” katanya kepada Astro Gempak.
Bagaimanapun Zamani antara enam bintang yang berjaya mara ke peringkat akhir.
Zamani akui bersyukur dan menganggap ia rezeki.
“Selepas persembahan pertama saya dah give up kerana malu tapi saya fikir saya ada peluang kedua jadi saya pun cuba sehabis baik.
“Saya bersyukur kerana nasib baik minggu ini kami diberi tugasan untuk menyanyi dua buah lagu. Jadi jumlah markah dari dua persembahan,” katanya lagi.
Lima peserta lain yang berjaya ke peringkat akhir adalah Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Maya Ruslee dan Billy Zulkarnain.
Manakala perjalanan Hetty Sarlene dan Kumpulan Forteen terhenti apabila diumumkan bintang yang gagal ke peringkat akhir.
Peringkat akhir GV5 pada 18 November ini ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut
#Astro #earpiece #Gegar Vaganza #GV5 #konsert #lupa lirik #slam #Zamani
;