'Sebagai manusia, saya akan perbaiki diri' - Vivy Yusof mohon maaf
Gempak
April 2, 2020 12:32 MYT
April 2, 2020 12:32 MYT
USAHAWAN terkenal Datin Vivy Yusof membuat permohonan maaf secara terbuka kepada netizen selepas meninggalkan komen yang tidak sensitif di Instagram (IG) miliknya.
Menerusi laman sosial IG, Vivy menjelaskan sepanjang beberapa hari ini, dia mengambil pendekatan bermuhasabah diri dan akan memperbaiki diri.
“Saya faham kenapa netizen marah dan saya juga setuju, sebagai seorang public figure, saya perlu lebih berhati-hati apabila menulis dan berkongsi sesuatu perkara. Ini sangat memberi pengajaran kepada saya.
“Saya sedar penggunaan ayat saya tidak tepat dan saya akan memperbaiki diri selepas ini.
“Saya menerima banyak mesej-mesej positif daripada ramai orang dan saya cukup berterima kasih,” jelasnya.
Namun menerusi video berdurasi lebih tujuh minit itu, Vivy menafikan dakwaan bahawa dia mempersoalkan bantuan yang diberikan oleh kerajaan terhadap golongan B40 dan M40 seperti yang tular di laman sosial Twitter.
“Menerusi gambar yang tertera kenyataan ini, saya tak pernah terfikir pun nak cakap benda ni. Saya tak sangka orang percaya saya cakap benda tu.
“Kenyataan tu keluar menerusi Facebook Live seseorang dan bukan dari Facebook Live saya, saya tidak ada Facebook pun.
“Bila dah masuk Twitter, benda ni dah tak terkawal. Kalau ada satu benda yang saya selalu pesan pada semua wanita, adalah untuk mempertahankan diri mereka dan sekarang, inilah waktunya saya mempertahankan diri saya sendiri sebab saya tak pernah keluarkan kenyataan tersebut.
“Benda ni tersebar dengan cepat sehingga ada petisyen untuk desak saya letak jawatan daripada UiTM,” ujarnya lagi.
Selain itu, dia turut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mula menyebarkan khabar angin, pembohongan dan petisyen tersebut.
Baru beberapa jam dimuat naik, video tersebut telah menerima lebih setengah juta tontonan dan hampir 8,000 komen daripada wargamaya.
#coronavirus
#COVID-19
#Datin Vivy Yusof
#Facebook
#fashion valet
#Instagram
#kerajaan
#koronavirus
#laman sosial
#UiTM
#undang-undang
#usahawan
#Vivy minta maaf