Sebab kematian Liam Payne didedah dalam autopsi awal

Agensi
Oktober 18, 2024 17:08 MYT
Pihak berkuasa berkata, Payne yang terjatuh dari balkoni di tingkat tiga Hotel CasaSur Palermo menyebabkan kecederaan mematikan. - AP
PENYANYI Liam Payne meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan trauma yang disebabkan dirinya terjatuh dari balkoni tingkat tiga sebuah bilik hotel di Buenos Aires, Argentina, ujar polis tempatan pada Khamis.
Hasil bedah siasat awal menunjukkan bahawa bekas anggota kumpulan One Direction itu menanggung pendarahan dalaman dan luaran serta pelbagai kecederaan trauma, menurut satu laporan portal The Independent.
Pihak berkuasa berkata, Payne yang terjatuh dari balkoni di tingkat tiga Hotel CasaSur Palermo menyebabkan kecederaan yang mematikan.
Sementara itu, laporan toksikologi masih belum dikeluarkan.
Penyanyi itu diumumkan meninggal dunia pada Rabu lalu (16 Oktober) selepas pasukan kecemasan bertindak balas kepada panggilan pengurus hotel berkenaan "seorang lelaki bersikap agresif yang mungkin di bawah pengaruh dadah atau alkohol".
Panggilan 911 itu dibuat pada 5.01 petang waktu temoatan, sebelum kemstian Payne kira-kira 10 minit kemudian.
Liam Payne merekodkan kemasyhuran global sebagai sebahagian daripada kumpulan pop One Direction yang telah dibubarkan, bersama Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.
Kumpulan lelaki itu bermula selepas menduduki tempat ketiga dalam rancangan pertandingan muzik X Factor versi British pada 2010, namun berpecah pada 2016 kerana ahlinya meneruskan projek berbeza termasuk kerjaya solo.
Sementara itu, anggota band One Direction berkongsi perasaan "amat terkejut dan sedih" dengan berita kematian rakan mereka itu.
Kenyataan bersama berkenaan dikeluarkan pada Khamis, dan ditandatangani oleh Harry, Louis, Zayn dan Niall.
#Liam Payne #autopsi #bedah siasat #punca kematian #One Direction
;