Search beri amaran Yazit mohon maaf secara terbuka

Gempak
Mei 11, 2016 18:26 MYT
AMY: Kami juga ingin menjaga nama baik Search dan apa yang dilakukan Yazit kali ini cukup memalukan kami. - Foto Astro Gempak

Vokalis Search Amy mewakili ahli kumpulannya yang lain, memberi amaran kepada pemain drum mereka, Yazit untuk mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 48 jam.

Amy atau Suhaimi Abdul Rahman berkata, tuduhan Yazit mengatakan Search melakukan pecah amanah adalah sangat serius.

"Saya ingin menegaskan Search tiada sifat ingin 'menyamun' duit tersebut daripada Yazit, seperti yang didakwanya menerusi laporan polis baru-baru ini.

"Saya juga terkilan dan kecewa dengan fitnah yang dilemparkan Yazit terhadap Search dan hari ini kami mengadakan sidang media kerana tidak boleh berdiam lagi dengan tohmahan dilemparkan.

"Kami juga ingin menjaga nama baik Search dan apa yang dilakukan Yazit kali ini cukup memalukan kami," katanya pada sidang media yang diadakan di Plaza Damas pada petang Rabu.

Sementara itu peguam yang mewakili kumpulan Search, Yusmadi Yusoff berkata, pada asalnya mereka mahu memberi tempoh tujuh hari kepada pihak Yazit untuk membuat permohonan maaf.

"Pada asalnya pihak peguam mahu memberi tempoh tujuh hari kepada Yazit untuk membuat permohonan maaf, namun kami dimaklumkan pihak sana akan mengadakan satu sidang media esok (Khamis).

"Oleh itu, kami merasakan esok adalah hari yang betul sekiranya Yazit mahu membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik semua pertuduhan yang dilakukan," katanya.

Tambah Yusmadi, tindakan susulan akan diambil sekiranya masih ada fitnah atau tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada anak guamnya.

Terdahulu, Yazit telah membuat laporan polis mendakwa berlaku pecah amanah oleh kumpulan Search terhadapnya.

Laporan polis dibuat pada 4 Mei 2016, pada pukul 4.40 petang di Balai Polis Wangsa Maju.

#laporan polis search #saman #search #Yazit #YusmadiYusoff
;