Sean "Diddy" Combs kekal dipenjara, ikat jamin ditolak buat kali kedua
Agensi
September 19, 2024 09:15 MYT
September 19, 2024 09:15 MYT
NEW YORK: Sean "Diddy" Combs dinafikan ikat jamin buat kali kedua pada Rabu selepas penyanyi rap dan mogul muzik itu ditahan atas tuduhan pemerdagangan seks dan pemerasan.
Dalam pertuduhan oleh pendakwaraya, Combs didakwa menggunakan kemasyhurannya untuk memaksa wanita melakukan perbuatan seksual sebagai sebahagian daripada skim pemerdagangan seks dan pemerasan.
Combs, 54, mengaku tidak bersalah di mahkamah persekutuan Manhattan beberapa jam selepas dakwaan setebal 14 muka surat itu dibacakan.
Rapper dan penerbit itu juga menggunakan empayar perniagaannya termasuk label rekodnya Bad Boy Entertainment untuk mengangkut wanita serta pekerja seks lelaki, merentasi negeri untuk mengambil bahagian dalam persembahan seksual yang dirakam dipanggil "Freak Offs", kata pendakwa raya.
Combs berdepan hukuman penjara sehingga seumur hidup, dan sekurang-kurangnya 15 tahun, jika disabitkan dengan tiga pertuduhan jenayah: konspirasi, pemerdagangan seks dan pengangkutan untuk terlibat dalam pelacuran.
Pendakwa raya berkata, Combs memikat wanita dengan memberi mereka dadah seperti ketamin dan ekstasi, sokongan kewangan, atau janji sokongan kerjaya atau hubungan percintaan.
Combs kemudian menggunakan rakaman rahsia perbuatan seks itu sebagai "cagaran" untuk memastikan wanita itu akan berdiam diri, dan kadangkala mempamerkan senjata untuk menakut-nakutkan mangsa penderaan dan saksi, kata pendakwa.
Dakwaan itu tidak menyatakan berapa ramai wanita yang didakwa menjadi mangsa.
Ia tidak mengandungi dakwaan bahawa Combs sendiri terlibat secara langsung dalam hubungan seksual yang tidak diingini dengan wanita-wanita berkenaan.
Bagaimanapun, dia dituduh melakukan serangan dengan menumbuk, menendang, menyeret dan membaling objek ke atas mangsa.
Combs menggunakan rasuah dan keganasan seperti membakar dan menculik untuk cuba merahsiakan kelakuannya, kata pendakwa raya.
Juga dikenali sebagai P. Diddy dan Puff Daddy, Combs adalah pengasas syarikat rekod Bad Boy dan membantu penyanyi rap dan penyanyi R&B seperti Mary J. Blige, Faith Evans, Notorious B.I.G. dan Usher menjadi bintang pada tahun 1990-an dan 2000.