SEA Director Focus tampilkan pengarah terhebat serantau
Azyyati Ahmad
Julai 22, 2016 18:28 MYT
Julai 22, 2016 18:28 MYT
Enam pengarah filem hebat di rantau Asia akan ditampilkan menerusi program wawancara SEA Director Focus di Astro A-List saluran 456.
Mereka dipilih berdasarkan pengiktirafan yang diperolehi di Festival Filem Antarabangsa dan merupakan idola pembikin filem di Asia Tenggara.
Wawancara itu akan menampilkan pengarah Riri Riza dan Garin Nugroho dari Indonesia, Boo Junfeng dan Eric Khoo dari Singapura, Lav Dias dari Filipina dan Pen-Ek Ratanaruang dari Thailand.
Menurut Naib Presiden Pemerolehan Dan Pengedaran Kumpulan Kandungan Astro, Teng Lee Yein, musim ketiga ini akan memaparkan latar belakang kreatif para ikon ini dan keazaman mereka untuk sampai ke tahap pencapaian yang membanggakan.
“Mengapa kita memilih mereka, adalah kerana mereka ini adalah pembikin filem yang sangat hebat di rantau Asia Tenggara.
“Kita ada Eric yang mewakili Singapura, Junfeng, pengarah muda dari Singapura dan dari Indonesia, kita ada Garin yang merupakan idola dan contoh bagi pembikin filem di Indonesia dan Riri, pengarah terkenal filem Ada Apa Dengan Cinta 2.
“Jadi, ia bagai dua generasi pembikin filem dan mereka juga merupakan simbol buat negara masing-masing dan Asia Tenggara,” katanya ketika ditemui dipelancaran program itu pada Jumaat.
Bagi pengarah filem Ada Apa Dengan Cinta 2, Riri Riza berharap penampilannya dapat memberi banyak inspirasi kepada pengarah-pengarah muda di luar sana.
Pengarah Filem Sandcastle, Boo Junfeng juga berharap program sebegini dapat diadakan di negaranya agar pengalaman yang ada dimanfaatkan bersama.
Wawancara ini akan diacarakan oleh pengkritik filem terkenal Hassan Muthalib.
Turut ditampilkan dalam setiap episod adalah Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Datuk Kamil Othman.
SEA Director Focus akan bersiaran setiap Rabu jam 10 malam mulai Oktober di saluran 456 A-List bersama tayangan satu filem yang pernah memenangi anugerah dari setiap pengarah.