Scha Al-Yahya tak takut bersuara isu Palestin, namun perlu berhemah ...
Asyraf Roslan
November 1, 2023 17:30 MYT
November 1, 2023 17:30 MYT
PELAKON dan pengacara, Scha Al-Yahya mengakui ada pihak yang tidak senang apabila dia agak lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin.
Bagi Scha atau nama penuhnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ,40, meskipun lantang sebagai selebriti dia harus gunakan platform sosial medianya secara berhemah.
"Kita boleh tunjuk sokongan tanpa menghentam terlalu kasar.
"Kena tahu berlapik, apa nak cakap dan bagaimana nak cakap. Hal itu paling penting. Saya rasa ramai yang kurang senang juga tapi mereka mesej peribadi sahaja. Saya boleh kawal kerana mereka bukan hentam di media sosial saya," ujarnya, ketika ditemui di sidang media Hero Dewi Remaja 2023,pada Selasa.
Bekas Juara Dewi Remaja 2005/2006 itu menyatakan bahawa beliau telah menolak jemputan secara baik bagi jenama-jenama yang menyatakan sokongan terhadap Israel.
Sehubungan itu, Scha turut berkata, dia mengambil langkah untuk menyusun semula hantaran sosial medianya atas rasa hormat terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza.
"Ada yang kadang-kadang terlupa dan bagi tarikh untuk buat hantaran (media sosial). Saya akan cakap saya kurang selesa dengan apa terjadi sekarang. Kita perlu pilih masa yang sesuai.
"Sangat penting untuk saya berkomunikasi dengan mereka dan mereka faham. Kita kena bijak dan bukan sekadar ikut arahan. Saya kena fikir juga kesannya.
"Ada yang jemput hadir acara dan saya akan tolak secara baik. Sebab mereka bukannya tak sensitif, mereka ada kalendar yang perlu ikut. Tapi kami sebagai bakat, kami ada pilihanlah," tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Isteri kepada Awal Ashaari itu sekali lagi diberi mandat untuk menjadi mentor dan juga juri tetap bagi program realiti, HeroDewi Remaja 2023.
Pertama kali digabungkan, program HeroDewi Remaja 2023 akan mula bersiaran pada 10 November 2023, jam 10 malam di saluran Astro Ria.