Sayu dengar bacaan solat, Ali ralat tidak dapat tunai umrah 10 malam terakhir Ramadan
Gempak
Mei 2, 2022 20:14 MYT
Mei 2, 2022 20:14 MYT
VOKALIS kumpulan XPDC, Ali ralat apabila tidak dapat menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci pada 10 malam terakhir Ramadan tahun ini.
Ekoran keadaan kesihatannya yang masih belum pulih sepenuhnya, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 54, enggan menyusahkan pihak lain.
"Setiap kali dengar laungan bacaan solat Tarawih di surau berdekatan pun jadi sayu. Saya tak boleh melipatgandakan pahala di bulan puasa kerana keterbatasan diri. Isteri selalu memujuk hati akan teman saya ganti atau qada puasa nanti.
"Saya sepatutnya menunaikan umrah pada 10 malam terakhir Ramadan tahun ini. Pihak agensi kembara umrah sampai sanggup nak bawa saya ke sana walaupun perlu berkerusi roda. Tapi isteri pun cakap tak mahu susahkan mereka. Saya anggap tak ada rezeki.
"Saya pernah tujuh kali mengerjakan umrah. Dua kali daripada jumlah itu saya pernah ke sana bersama isteri iaitu pada tahun 2018 dan 2021," katanya kepada wakil media baru-baru ini.
Bercerita tentang sambutan lebaran tahun ini, Ali juga pasrah apabila dia kini sudah tidak boleh menjamah hidangan kegemarannya setiap kali tibanya Syawal.
"Saya teringin, tapi saya memang tak boleh makan beria-ia. Kena elak makanan keras terutamanya. Tambah nak raya, teringin juga makan ketupat dan lontong. Apakan daya. Tengok kek pun semacam tiada perasaan.
"Tahun ini pun kerana keadaan kesihatan diri, saya tak boleh berpuasa. Saya juga harus meminum susu enam kali dalam sehari untuk membekalkan tenaga selain ubat hospital," tambahnya.
Sementara itu, isteri Ali, Sharifah Azuwanna berkata, ujian dilalui Ali menjadi ruang terbaik untuk menyokongnya dari belakang.
"Dulu selama lima kali melalui fasa kehamilan, dia (suami) yang bersusah payah menjaga saya. Saya pernah rasa loya nak muntah pun, dia sanggup tadah tangan.
"Kini, sewaktu dia diuji, saya pula menjaganya. Saya ini sebenarnya jenis cepat geli dengan benda yang memualkan. Tapi ketika menjaga suami termasuk membantu ke tandas pun saya seolah-olah hilang sikap geli itu.
"Cuma saya tahu dia memang sedih tak dapat berpuasa. Dulu waktu sihat, puasa takkan tinggal. Malah siap buat puasa sunat lain termasuk puasa enam," ujarnya.
Ali sebelum ini dimasukkan ke hospital pada Mac lalu apabila tiba-tiba jatuh sakit.
Seminggu dirawat, kesihatan Ali merosot dan terpaksa ditidurkan akibat kesukaran bernafas.