"Sayalah juri Mak Cik Bawang, cuma yang berilmu" - Rizalman
Gempak
Mac 27, 2018 08:09 MYT
Mac 27, 2018 08:09 MYT
RANCANGAN realiti pencarian bakat pereka fesyen tempatan GenF sudah mula bersiaran dan pelbagai persepsi mula dilontarkan dalam kalangan netizen.
Positif atau tidak, ujar Datuk Rizalman Ibrahim selaku juri tetap, beliau melihat cara penjurian dan komentar yang dilontarkan kepada peserta setiap minggu berlandaskan ilmu sepanjang 25 tahun dalam bidang fesyen.
"Saya rasa komen-komen saya sebagai juri akan disertai oleh Mak Cik-Mak Cik Bawang sebab umur saya pun sudah seperti mereka.
"Sebenarnya sayalah juri Mak Cik Bawang. Cuma Mak Cik Bawang komen perkara yang tidak berasas, lebih kepada cemburu, gosip dan mahu menambah followers.
"Saya ada semua sifat itu tetapi kecaman dan komen yang saya berikan pada setiap episod berlandaskan akademik, pengalaman dan sebagainya.
"Mungkin saya Mak Cik Bawang yang berilmu, bawang Belanda barangkali," ujarnya kepada Astro Gempak.
Menerusi siaran GenF, Rizalman disifatkan netizen sebagai juri yang garang dan paling banyak melontarkan komen-komen yang tegas.
Akui Rizalman, keberadaannya disifatkan umpama juri yang jahat dalam sesebuah program televisyen.
"Saya juri yang jahat! Vivi pula baik. Umpamanya sayalah Kak Ogy atau Datuk Ramli MS kalau rancangan nyanyian.
"Tugas saya untuk menyelikkan mata mereka apa yang telah, sedang dan akan berlaku kepada rekaan masing-masing," tambah Rizalman.
Menerusi GenF, sebanyak 10 jenama tempatan yang diwakili oleh dua pereka telah terpilih untuk bertanding selama lapan minggu.
Sepanjang tempoh tersebut, peserta akan diberikan pelbagai cabaran dan diakhiri dengan pertunjukan fesyen pada akhir rancangan.
Antara jenama yang terlibat termasuklah Kahou yang diwakili oleh Hou dan Yoong Jia Yi, Lolo (Peh dan Ivy), HN (Hanif Naim dan Filzah Zaidi), Wan & Mary (Lee dan Mariam Musa) serta Calaqisya (Farah Azrina Khairuddin dan Hadi Aizat).
Dalam masa yang sama, jenama Jubahsouq (Fameiza Kasim dan Fatin Sakinah), Ridzuan Alias (Ridzuan Alias dan Nasyreen ‘Aminah), Larf (Latifi dan Black), Seth & Luna (Jimiey Whang dan Irie Mohamed) serta Clothesology (Aynaa Manan dan Mujahidah) turut mengambil bahagian.
Juara GenF akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 sumbangan Astro dan koleksi kapsul tajaan FashionValet yang bakal dipasarkan menerusi butik FashionValet dan platform e-dagang Go Shop.
Disiarkan sejak 11 Mac pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123), GenF menampilkan aktor kelahiran Singapura, Hisyam Hamid sebagai pengacara.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @rizalman71