"Saya tidak lari, sedang usaha cari dana untuk selesaikan bayaran" - Ogy Ahmad Daud

Saharudin Musthafa
Mei 2, 2020 12:28 MYT
Ogy sentiasa mengingatkan dirinya bahawa janji yang dibuat harus ditunaikan, sementara hutang sesama manusia pula, harus dilunaskan. - Gambar Instagram Fauziah Ahmad Daud
KETIKA dirinya diduga dan diuji dengan kemelut kewangan bagi menyelesaikan bayaran tertunggak team produksi teater Korupsi Dewan Semandung, Fauziah Ahmad Daud tidak pernah berniat melarikan diri daripada tanggungjawab.
Bahkan, sebagai manusia yang waras dan memiliki nilai kemanusiaan, Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy sentiasa mengingatkan dirinya bahawa janji yang dibuat harus ditunaikan.
Demikian juga dengan hutang sesama manusia, harus dilunaskan.
“Saya tidak zalim. Saya memahami mereka (tenaga produksi teater) juga memerlukan perbelanjaan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
“Untuk makluman semua, saya tidak akan melarikan diri (daripada tanggungjawab), saya tidak menukar nombor telefon dan belum lagi keluar kumpulan WhatsApp.
“Saya sedang berusaha sedaya upaya saya untuk mencari dana bagi menyelesaikan bayaran kepada mereka yang terlibat. Saya tidak berdiam,” kata Ogy kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Sabtu.
Ogy berkata demikians sebagai mengulas kenyataan pengarah teater Korupsi Dewan Semandung, Khir Rahman yang mendesaknya agar segera melunaskan baki bayaran kepada team produksi di atas kerja yang telah mereka lakukan.
Sebelum itu, seorang pelakon teater berkenaan, Che Mat membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Hussein Onn Cheras, pada Jumaat yang berasa tertipu dengan janji manis Ogy untuk melunaskan baki bayaran.
BACA: "Saya harap Kak Ogy lunaskan bayaran dalam masa terdekat" - Khir Rahman pula bersuara
Menurut Ogy, beliau secara peribadi, tidak dapat menghalang team produksi teater berkenaan yang memilih untuk menyuarakan pandangan mereka di laman media sosial serta membuat laporan polis terhadapnya.
Ini kerana, kemelut yang tercetus ini, tegas beliau, berlaku bukan atas kehendaknya dan setiap orang bebas menyurakan rasa hati mereka.
“Saya berada dalam kedudukan sebagai usahawan yang terhimpit untuk menyelesaikan bayaran yang telah dijanjikan. Sebagai usahawan, saya tiada pilihan lain selain daripada berhadapan dengan masalah ini.
“Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak ambil lewa, saya ada tanggungjawab untuk selesaikan bayaran kepada mereka yang saya berhutang. Saya sedang dan akan terus mencari jalan untuk menyelesaikan.
“Alhamdulillah, Allah beri saya panduan dan pedoman untuk saya mencari jalan. Saya percaya Allah mendengar doa saya dan akan bantu saya di bulan penuh kemuliaan ini untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Ogy lagi.
Sehubungan itu, Ogy menegaskan, beliau tidak begitu tertekan apabila segelintir pihak menggelarnya sebagai penipu atau pendusta kerana realitinya, peribadinya bukan sedemikian rupa.
“Beri saya sedikit ruang dan masa, Insya-Allah apabila cukup dana yang saya perlukan, akan saya bayara kepada mereka semua,” janji Ogy lagi.
Kata Ogy, sudah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan sejumlah RM100,000 bagi menyelesaikan masalah pembayaran bagi team produksi Korupsi Dewan Semandung.
Bagaimanapun, tegas beliau, dalam situasi sekarang, banyak halangan yang harus dilaluinya.
“Dalam keadaan pandemic COVID-19, banyak pihak yang berhati-hati. Saya amat memahami kedaan mereka semua. Harapan saya, agar team produksi akan juga memahami situasi itu. Saya janji, bila ada duit saya akan jelaskan,” ikrar Ogy lagi.
#bayaran tertunggak #Fauziah Ahmad Daud #kemelut isu bayaran #Khir Rahman #Korupsi Dewan Semandung #Ogy Ahmad Daud #pengarah #team produksi #teater
;