Saya tidak akan mengarah Bond 25 - Christopher Nolan
Agensi
Februari 20, 2018 08:18 MYT
Februari 20, 2018 08:18 MYT
BOND 25 antara filem yang paling dinanti-nantikan. Bukan hanya kerana ia mungkin jadi filem terakhir Daniel Craig sebagai James Bond tetapi persoalan siapa akan menduduki kerusi sutradara masih belum terjawab.
Antara yang diharapkan bakal beri sentuhan bagi filem agen 007 ini adalah Christopher Nolan.
Bagaimanapun pengarah kreatif yang berjaya memberi sisi berbeza bagi watak Batman dalam trilogi The Dark Knight itu mengesahkan tidak berminat untuk mengarah filem Bond buat masa ini.
“Saya suka pada watak dan filem ini namun anda seharusnya hanya akan menerima tugas mengarah filem francais sebegini jika hasilkan sesuatu yang sepenuhnya baharu.
“Saya rasa buat masa ini mereka berjaya melakukan sesuatu yang amat mengagumkan tanpa saya,” jelas pengarah berusia 47 tahun itu dalam wawancara bersama BBC Radio 4.
Beliau pada masa sama memuji hasil kerja Sam Mendes yang cemerlang dalam dua naskhah filem Bond sebelum ini.
Nama Nolan dikaitkan dengan Bond 25 selepas dia mengakui menjadi pengikut setia watak ciptaan Ian Fleming itu.
Pihak produksi menyasarkan Bond 25 untuk ditayangkan pada November 2019 bermakna penggambarannya perlu bermula sebelum hujung tahun ini.