'Saya tidak ada isu dengan Elly Mazlein' - Azharina
Gempak
Oktober 9, 2016 23:07 MYT
Oktober 9, 2016 23:07 MYT
Penyanyi yang juga merupakan peserta GegarVaganza 3 (GV3), Azharina Azhar, 31, menafikan mempunyai isu dengan Elly Mazlein.
Menerusi sebuah ruangan gosip baru-baru ini, Elly Mazlein didakwa telah memetik nama Azharina ketika semua peserta GV3 berkumpul untuk diberikan penerangan membabitkan konsep pertandingan tersebut.
"Sejujurnya, saya tidak tahu apa-apa pun mengenai gosip tersebut. Saya merasakan perkara itu bukanlah satu isu besar.
"Saya sudah lama mengenali Elly sebagai rakan artis dan saya tidak pernah ada isu dengan Elly. Mungkin perkara ini sengaja ditimbulkan untuk menghangatkan keadaan di awal pertandingan GV3," kata Azharina kepada Astro Gempak.
Mengakui yang GV3 merupkan landasan untuk dirinya kembali bangkit dalam industri nyanyian, penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi ini tidak menyangka dirinya diberi peluang untuk turut serta dalam GV3.
"Saya menghadiri sesi ujibakat GV3 untuk bertemu dengan rakan-rakan lama. Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka akan terpilih sebagai 12 peserta akhir. Mungkin ini sudah menjadi rezeki anak saya.
"Sejujurnya, saya hanya pernah menonton GV sekali sahaja, itu pun pada konsert akhir GV2 kerana saya memang jarang menonton televisyen.
"Namun begitu, saya merasakan GV merupakan platform untuk penyanyi mengubati kerinduan peminat dan peluang kedua untuk artis bangkit membina nama dalam persada hiburan. Saya akan melakukan yang terbaik demi anak saya dan peminat yang sentiasa menyokong," katanya lagi.
Saksikan Konsert GegarVaganza 3 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 16 Oktober ini secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9.00 malam.