'Saya takkan benarkan lelaki itu bersama mama' - Anak DS Vida

Gempak
Oktober 17, 2017 12:00 MYT
Mengulas mengenai ciri-ciri yang ada pada Ahmad Iqbal yang melayakkan bekerja dengannya, DSV berkata, pemuda itu mempunyai kemahiran dan mudah menterjemahkan kemahuannya.

ANAK kepada jutawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) yang dikenali dengan nama Cik B, memuat naik keratan berita mengenai ibunya bersama pembantu peribadi terbaharu, seorang pemuda berusia 23 tahun.

Menerusi entri tersebut, Cik B seolah-olah menunjukkan rasa protes terhadap kenyataan dikeluarkan Pegawai Media dan Pembantu Peribadi DSV, Ahmad Iqbal Zulkefli.
Merujuk kepada laporan berita tesebut Cik B pada ruangan kapsyen menulis:
“Ehemmm ehemmm..... saya takkan benarkan dia bersama mama saya sebab dia tu nak perhatian je..”

Entri yang dimuat naik kira-kira jam 7 pagi tadi itu mendapat lebih 2,600 likes dan 200 komen yang rata-ratanya menyokong kanak-kanak tindakan berusia 11 tahun tersebut.
Kebanyakan komen memahami luahan Cik B dan berpendapat dia bertindak demikian kerana terlalu menyayangi ibunya serta tidak mahu individu lain mengambil kesempatan terhadap DSV.

Sementara itu, Iqbal menerusi laporan berita yang bertajuk “Anak ikan? Tidaklah... mana ada” di Harian Metro, mengakui serasi bersama DSV dan menerima sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan usahawan tersebut.
Iqbal juga dilaporkan sebagai individu yang paling rapat dan sentiasa bersama DSV atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman.
Anak kelahiran Pasir Mas Kelantan itu bekerja dengan DSV secara rasmi sejak Jun lalu dan bertanggungjawab mengendalikan media sosial DSV, mengambil gambar dan video aktiviti serta melakukan suntingan sebelum memuat naik ke laman berkenaan.
Pelajar lulusan Diploma Penulisan Kreatif daripada Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu turut menafikan yang dia menumpang populariti DSV mahupun cuba mengambil kesempatan terhadap kekayaan jutawan berkenaan.

Dalam pada itu DSV yang ketika ini berada di Makkah untuk menunaikan Umrah ketika dihubungi berkata, pemuda itu memahami dirinya dan berfikiran matang.

Mengulas mengenai ciri-ciri yang ada pada Ahmad Iqbal yang melayakkan bekerja dengannya, DSV berkata, pemuda itu mempunyai kemahiran dan mudah menterjemahkan kemahuannya.

Dalam masa sama, DSV menafikan yang Ahmad Iqbal adalah anak ikannya seperti yang diperkatakan netizen di media sosial.

"Anak ikan? Muka dia muda. Saya pun tidak rasa saya tua. Saya muda dan kalau bergambar tu macam tak jauh (beza) antara saya dengan dia. Macam ada kematangan pada diri dia. Jadi anak ikan... tidaklah... mana ada,” katanya kepada Harian Metro.

Foto: Cik B & Ahmad Iqbal Zulkefli

#Cik B #Datuk Seri Vida #DSV #Iqbal Zulkefli #lelaki #usahawan kosmetik
;