“Saya tak tuntut apa-apa dari Aliff, harta paling berharga adalah anak-anak” - Bella Astillah

Gempak
Jun 13, 2024 18:04 MYT
Bella menzahirkan rasa syukur apabila urusan perceraiannya berlangsung dengan lancar. - Foto Gempak
PENYANYI dan pelakon, Bella Astillah tidak menuntut sebarang nafkah daripada bekas suaminya, Aliff Aziz selepas mereka sah bercerai pada Khamis.
Bella melepaskan tuntutan mutaah, iddah, tunggakan nafkah isteri, hutang perkahwinan dan harta sepencarian.
“Saya tidak menuntut apa-apa sebab apa-apa harta yang paling berharga adalah anak-anak,” katanya.
Tak mahu panjang
Malah bekas suaminya, Aliff Aziz juga bersetuiu untuk memberikan hak penjagaan penuh kedua-dua anak mereka iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna kepada Bella.
“Sebenarnya saya tidak mahu memanjangkan lagi apa-apa selepas ini dan saya tidak mengharapkan apa-apa dari Aliff.
“Sekarang ini adalah fasa untuk ‘move on’ sahaja. Itu jauh lebih penting sebab saya ada banyak perkara lagi mahu dibuat, saya mahu jaga anak-anak.
“Hak penjagaan anak-anak juga sepenuhnya pada saya syukur alhamdulillah itu sebab saya cakap saya tidak menuntut apa-apa sebab apa-apa harta yang paling berharga adalah anak-anak.
“Sudah dapat anak-anak itu sudah cukup sebab anak-anak nombor satu. Saya paling bersyukur soal itu, alhamdulillah,” katanya.
Kali terakhir di mahkamah
Dalam pada itu, Bella juga turut menzahirkan rasa syukur apabila urusan perceraiannya berlangsung dengan lancar.
“Alhamdulillah terima kasih semua yang mendoakan saya. Mungkin inilah kali terakhir saya berada di mahkamah, insya-Allah.
“Alhamdulillah selesai sudah. Tolong doakan saya dan anak-anak terus kuat dan bahagia selepas ini insya-Allah. Terima kasih.
“Saya cuma rasa bersyukur semuanya dipermudahkan, saya percaya ramai orang juga sudah penat apatah lagi diri saya sendiri.
“Saya berterima kasih juga peguam saya, Azmi Mohd Rais kerana permudahkan semua. Saya bersyukur,” katanya.
Seterusnya Bella juga berkata dia belum memikirkan soal bersedia kembali berhubung dengan Aliff secara baik.
“Masih belum berkesempatan memikirkan hal itu jadi kita tengok ‘one step at time’, perlahan-perlahan, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Bella memfailkan perceraian daripada suami, Aliff pada 11 Mac lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
Sebaik sebutan pertama di hadapan hakim, Wan Mohd Najib Wan Hamat, berakhir, Bella yang ditemui pemberita, memberitahu dia nekad untuk bercerai. Bagaimanapun, Aliff tidak hadir ke prosiding tersebut atas urusan penggambaran.
Seterusnya, pada prosiding yang berlangsung pada 4 April lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menetapkan Aliff dan Bella perlu hadir ke proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) berikutan keputusan Aliff yang tidak bersetuju dengan permohonan cerai dibuat isterinya.
Sebelum ini juga terdapat dakwaan Bella sudah berbaik dengan Aliff selepas tarikh sebutan kes perceraian mereka ditunda daripada 4 Jun kepada hari ini.
Bella kemudiannya memuat naik kenyataan di Instagram menyatakan dia sudah lama ‘move on’ dan kini hidup tenang.
Sejak Mac lalu, rumah tangga Bella dan Aliff, menjadi topik hangat apabila Aliff didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Terdahulu, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna yang masing-masing berusia tujuh dan empat tahun.
*Artikel disiarkan di Gempak
#Aliff Aziz #permohonan cerai #Bella Astillah #mahkamah syariah #khalwat
;