Saya tak perlu tunjuk bukti di Instagram - Rita Rudaini
Gempak
Oktober 13, 2014 19:22 MYT
Oktober 13, 2014 19:22 MYT
Kemelut dan persengketaan antara Rita Rudaini dan bekas suaminya, Aidil Zafuan bukan suatu perkara baharu sejak pasangan ini bercerai setahun yang lalu.
Malah keadaan semakin teruk apabila Aidil bertindak menggunakan laman sosial Instagram untuk berkongsi ceritanya mengenai Rita.
Rita ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia tidak akan melakukan perkara sama seperti Aidil untuk membuktikan dirinya berada di pihak yang benar.
“Kalau dia tidak puas hati dan rasa diri tidak salah, tak perlulah gunakan laman sosial untuk bersuara.
"Lawan saja di mahkamah. Kes kami pun masih dibicarakan di mahkamah. Tak payah nak tunjuk di Instagram dan marah-marah tak tentu fasal.
“Saya sendiri ada bukti banyak tapi tak pernah ditunjuk di Instagram. Semua bukti saya serahkan ke mahkamah.
"Instagram ini bukan boleh buat keputusan siapa betul tanpa salah. Hanya mahkamah yang akan menentukan segala-galanya,” katanya.
Mengulas mengenai foto transaksi wang berjumlah RM2,000 yang dimuat naik Aidil dengan tujuan membuktikan nafkah ada diberikan kepadanya, kata Rita selama ini dia tidak pernah menuduh bekas suaminya itu tidak memberikan nafkah.
“Selama ini saya tak pernah cakap dia tak pernah bagi nafkah. Cuma nafkah yang dia bagi selama ini tak mencukupi. Itu saja.
"Jika dia bapa yang baik kepada anak saya, tak perlu dia menafikan apa yang kami minta dan tuntut untuk anak. Jika dia anggap RM2,000 itu satu nilai yang besar dan dia sudah boleh lepas tanggung jawab, memang dia silap," katanya.,” jawabnya ringkas.
Apabila ditanya mengenai dakwaan Aidil mengenai kiriman mesej yang tidak pernah dijawab, Rita memberitahu ada menerima amaran daripada telefon bimbit bekas suaminya itu.
“Macam mana nak jawab kalau saya pernah tiba-tiba dapat mesej ‘Jangan Gatal’ daripada telefon Aidil? Sedangkan malam sebelumnya elok sahaja Aidil mesej dan telefon saya.
“Sejak itu saya tidak membalas mesejnya kerana bimbang dituduh pengacau rumah tangga orang pula. Lagipun saya rasa dia macam tidak terima mesej yang dihantar kerana bila saya membalas mesej dia pula akan senyap.
"Keesokannya dia akan mesej bertanyakan soalan yang sama seolah-olah saya tak menjawab soalannya sebelum itu. Saya kurang pasti jika ada orang yang memadamkan mesejnya termasuk menulis khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi Jangan Gatal itu.
“Bukti jelas di sini, selalunya dia akan balas membahasakan diri awak kepada saya. Tetapi mesej ‘Jangan Gatal’ itu menggunakan ganti diri ‘I’,” katanya.
Tambah Rita lagi, dia mempunyai bukti bertulis ketika suaminya bermain kayu tiga dengan isterinya sekarang beberapa bulan lalu sebelum mereka berkahwin.
"Saya memang ada bukti mereka bersandiwara dengan saya selepas enam bulan dia keluar dari rumah. Tapi saya simpan saja bukti itu.
“Saya pernah tunjuk kepada dia dan dia sendiri tertunduk malu. Saya tak mahu cakap kosong," katanya.
Berkenaan dakwaan Aidil mengenai Rita berbohong tidak pernah menuntut cerai dan berbohong kepada wartawan, Rita mempersoalkan bukti yang Aidil ada.
"Ada ke bukti di mana-mana mahkamah yang mengatakan saya pernah buat permohonan cerai daripada dia? Sebelum ini pun mahkamah dah buktikan saya tak pernah nusyus. Kalau permohonan cerai daripada dia adalah saya terima," katanya.
Bagaimanapun kata Rita, dia kecewa kerana perkara ini berlaku hanya disebabkan dia mahu menuntut hak dirinya dan anak-anak.
"Sedih jadinya apabila penat lelah saya seorang diri menjaga anak tidak dihargai langsung. Mana nak jaga anak, bekerja, naik turun mahkamah lagi.
Saya cuba terbaik untuk jadi ibu dan bapa yang sempurna untuk anak. Saya melebihkan anak daripada segala-galanya.
“Saya percaya ada orang seronok melihat Aidil benci saya. Walaupun kami cuba berbaik kerana anak, tapi ada orang akan cuba lagakan kami supaya kami berdua tidak boleh berbaik sampai bila-bila,” luahnya kesal. -- Astro Gempak