KUALA LUMPUR: Berbaki lebih kurang 30 hari sahaja lagi sebelum menuju ke pentas A Night with Aina Abdul 2.0, penyanyi, Aina Abdul mengakui bahawa dia berdepan dengan tekanan dalam melaksanakan konsertnya itu.

Namun sebagai anak seni, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani,29, menyatakan bahawa tekanan yang dihadapinya itu merupakan satu tekanan yang biasa bagi seorang anak seni.

“Saya tertekan namun tekanan ini merupakan satu tekanan yang saya impi-impikan.

“Kalau nak buat konsert, inilah lumrahnya, kalau nak buat senang sahaja.. Nanti Allah tarik bahagian lain pula,” katanya semasa sidang media A Night with Aina Abdul 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur.


Aina Abdul akui tertekan namun ...


Pada masa sama, pelantun lagu Sumpah ini tidak mahu menjanjikan apa-apa buat peminat yang hadir ke konsert beliau, namun akan memastikan peminat pulang dengan satu kenangan berharga.

“Anda akan lihat satu persembahan yang menarik dan anda akan lihat satu sisi lain Aina Abdul pada konsert tersebut.

“Kalau sebelum ini hanya tengok dekat AJL satu persembahan, tapi kali ini ada 26 buah lagu yang akan dipersembahkan pada malam itu, doakan saya,” tambahnya.

Membawa konsep modern and clean pada malam gilang-gemilang itu, Aina dikhabarkan akan memperagakan lapan busana daripada lapan pereka fesyen tanah air pada konsert itu nanti.

Konsert A Night with Aina Abdul 2.0 akan berlangsung di Istana Budaya pada 25 dan 26 Jun 2022 akan datang.