"Saya tak naik kapal untuk suka-suka" - Alyah pertahan kunjungannya ke Langkawi

Astro Awani
April 8, 2021 13:59 MYT
Menurut Alyah, kunjungannya ke Langkawi bukan untuk bersuka-ria atau memperagakan pakaian-pakaian cantik, sebaliknya, bagi menjalani penggambaran muzik video. - Gambar Instagram ALYAH
KUALA LUMPUR: Selepas pasangan pengantin baharu, Neelofa dan PU Riz dikritik dan dikecam oleh netizen berikutan kunjungan mereka ke pulau peranginan Langkawi, kali ini, penyanyi terkenal, Datin Aliyah pula menerima nasib yang sama.
Artis berkenaan dibidas kerana tidak sensitif dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Penyanyi yang juga isteri kepada maestro Datuk Ramli MS itu turut dituduh oleh segelintir netizen sebagai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sehubungan itu, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasilan Abu Hassan tampil mempertahankan dirinya dengan mendakwa, kunjungannya ke Langkawi atas tuntutan kerja dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Tegas Alyah, dia dan pengurusannya telah menyediakan segala dokumen perjalanan sebelum mendapat kebenaran.
Segala mesej, kritikan dan tuduhan diterima Alyah menerusi mesej peribadi (DM).
"Sejak saya berada di Langkawi, pelbagai DM yang saya terima antaranya seperti yang saya muat naik di media sosial. Itu belum lagi nombor tak dikenali. Salam tidak apa pun tidak, terus maki hamun saya persoal itu dan ini mengenai SOP.
"Saya masih seorang penyanyi dan bekerja di bawah syarikat rakaman sendiri. Sebagai peniaga muzik saya harus mengeluarkan lagu bagi memastikan perniagaan ini berterusan. Ia bukan hanya pada halwa telinga sahaja, tapi pihak saya perlu juga mengeluarkan produk dalam bentuk visual juga,”’ tegasnya menjawab tuduhan warganet di Instagram peribadinya yang diikuti oleh 934,000 pengikut.
Alyah berkunjung ke Langkawi pada 4 hingga 7 April lalu bagi menjalani penggambaran video muzik lagu Thank You Allah.
Penyanyi itu turut berkongsi beberapa foto dan video di sebalik pembikinan klip video berkenaan.
Kata penyanyi lagu Jutaan Purnama itu, tiada langsung niat untuk bersuka-ria di Langkawi atau sekadar mahu memperagakan pakaian-pakaian cantik.
“Saya tak naik kapal untuk suka-suka dan tidak berkeinginan pun ke Langkawi kalau setakat nak tukar-tukar baju fesyen,” jelas Alyah dalam hantarannya.
Dalam hantaran sama, Alyah turut memuat naik permit perniagaan yang didaftarkan atas nama syarikatnya, Like Music Entertainment serta surat kebenaran merentas negeri.
#Alyah #Neelofa #PU Riz #Langkawi #SOP #Pelaksanaan PKP #perintah kawalan pergerakan #video muzik #Thank You Allah #Ramli MS
;