"Saya tak kisah orang panggil Tokti tapi..." - Siti Nurhaliza
Asyraf Roslan
November 25, 2023 08:00 MYT
November 25, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: "Saya tak kisah kalau dipanggil Tokti semasa bersama peminat tapi dalam majlis tertentu, lebih baik dipanggil dengan nama Siti Nurhaliza,"
Itu respon penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berkenaan isu peminat kurang senang dengan panggilan Tokti sehingga menenggelamkan 'jenama' Siti Nurhaliza itu.
Bagi pelantun lagu Nirmala itu, perkara tersebut tidak menjadi masalah buatnya namun beliau tidak mahu sehingga ada pihak tidak dibenarkan untuk memanggilnya dengan panggilan mesra yang sudah sinonim dengan dirinya itu.
“Kalau nak kata jangan panggil saya Tokti panggil saya Siti Nurhaliza, saya tak nak sampai macam itu sekali, tapi kalau boleh dalam keadaan tertentu yang melibatkan sesuatu yang formal perlu menyebut nama saya Siti Nurhaliza,” ujarnya.
Pada masa sama, pengasas jenama SimplySiti dan Beausiti ini juga menyatakan tidak terfikir untuk menetapkan panggilan seperti apa yang dilakukan oleh teman baiknya, Krisdayanti.
“Setiap orang ada keinginan ada protokol dia, saya faham macam teman saya (Krisdayanti) dia dah menjadi wakil rakyat di sana lebih baik dia dipanggil seperti nama dia yang tertera dalam kad pengenalan dia, tapi saya tetap berkata begitu jika ada acara formal baru panggil saya dengan nama Siti Nurhaliza,” tambahnya.
Siti Nurhaliza berkata demikian ketika ditemui di sesi Meet and Greet di Jelajah Jiwa SME yang berlangsung di The Curve, Damansara selama tiga hari bermula Jumaat sehingga Ahad.
Terdahulu timbul isu di media sosial di mana beberapa peminat yang mahukan Siti Nurhaliza dipanggil dengan namanya yang sebenar dan bukannya dengan panggilan Tokti.