Saya tak ingin bergandingan dengan Shahrukh Khan lagi - Saif Ali Khan
Gempak
November 12, 2014 14:30 MYT
November 12, 2014 14:30 MYT
Meskipun filem yang sering dibintanginya gagal di pasaran, dan jarang mendapat perhatian pengkritik filem di Bollywood, Saif Ali Khan tetap dengan keputusan untuk tidak bergandingan dengan aktor Shahrukh Khan sampai bila-bila.
Padahal, beberapa tahun lalu mereka pernah bekerjasama dalam filem Kal Ho Naa Ho sehingga membuatkan namanya menjadi perhatian umum hasil daripada sambutan yang cukup luar biasa oleh peminat filem-filem Bollywood.
Namun ternyata Saif tidak mahu menjadikan kejayaan filem tersebut sebagai alasan untuk dirinya selesa tanpa sebarang usaha. Malah dia sedikit kecewa kerana ramai beranggapan kejayaan filem tersebut atas penampilan Shahrukh Khan, bukan kerana kualiti lakonan yang ditampilkan olehnya.
Menerusi temubual eksklusif bersama pihak media di India, Saif mengaku ingin berada di tahap yang lebih tinggi tanpa bantuan mana-mana pelakon yang sudah cukup gah dalam industri perfileman Bollywood.
“Saya tidak ingin lagi berlakon atau bergandingan dengan Shahrukh Khan seperti dalam filem Kal Ho Naa Ho, tidak lagi! Saya ingin membintangi filem yang lebih hebat dan mampu bawa saya ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.
“Saya tidak mahu menjadi pilihan kedua atau pembantu pelakon di samping nama besar seperti Shahrukh Khan,” ujar Saif menerusi portal Filmi Beat.
Saif merasakan dirinya sering menjadi pilihan kedua bukan watak utama seperti aktor-aktor hebat yang lain walaupun dalam filem Kal Ho Naa Ho dia dilihat sebagai pelakon utama. Namun kemunculan Shahrukh Khan sama sekali tidak mampu meletakkan dirinya menerima perhatian pengkritik mahupun peminat.
Akibat dari kenyataan Saif tidak mahu lagi bergandingan dengan Shahrukh khan selepas ini, hubungan baik mereka dikatakan semakin renggang dan tidak lagi bertegur sapa. -- Astro Gempak