"Saya tak gila, masih ingat lirik dan boleh mengaji" - Zaiton Sameon

Gempak
November 17, 2022 12:02 MYT
Zaiton Sameon, 66, berasa terkilan dengan tanggapan negatif yang dilemparkan terhadapnya tanpa mengetahui kondisi sebenar dirinya. - Gambar GEMPAK
PENYANYI veteran, Zaiton Sameon, 66, berasa terkilan dengan tanggapan negatif yang dilemparkan terhadapnya tanpa mengetahui kondisi sebenar dirinya.
Menurut Zaiton, dia masih waras dan masih mampu membuat persembahan serta mengingati lirik lagu-lagunya.
“Saya balik kampung semua orang cakap saya gila. Saya gila ke? Saya tak gila. Saya cakap kalau saya gila, saya dah bunuh orang.
“Saya masih boleh menyanyi, ingat lirik dan boleh memandu,” katanya ketika ditemui Gempak.
Zaiton berkata demikian selepas majlis penyerahan kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Che Samsuzuki Che Noh baru-baru ini.
Menceritakan kisah dirinya, Zaiton juga mengakui sedih apabila ada rakan artis memburukkan dirinya.
“Ada yang tikam belakang dan bawa mulut kepada penganjur dan mengatakan saya tidak boleh menyanyi.
“Siapa yang tak sedih bila dikata begitu, siap ada kata saya lalok. Saya masih boleh ingat lirik dan menyanyi. Malah mengaji pun saya boleh.
“Sejujurnya saya rasa sedikit sedih apabila tiada tawaran menyanyi termasuk untuk kempen kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Sekurang-kurangnya tahun sebelum ini ada juga saya dipanggil,” jelasnya.
Terdahulu, Zaiton layak menerima status OKU kategori fizikal selepas disahkan mengalami Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) oleh pihak hospital berikutan kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya pada 1990.
Dalam kemalangan itu, anaknya iaitu Azirwan Abu Bakar terkorban dalam nahas tersebut.
Artikel asal disiarkan di Gempak.
#Zaiton Sameon #Zaiton Sameon tak gila #penyanyi Menaruh Harapan #Zaiton Sameon dapat kad OKU
;