'Saya sudah tua nak layan drama' - Selena Gomez berundur dari media sosial
Agensi
Februari 24, 2023 14:17 MYT
Februari 24, 2023 14:17 MYT
BARU saja dinobatkan pemilik akaun Instagram dengan jumlah pengikut paling ramai, Selena Gomez mengumumkan mahu berehat seketika dari media sosial.
Gomez membuat siaran langsung di TikTok pada Khamis untuk mengumumkan pengunduran sementara waktu daripada media sosial, gara-gara kontroversi membabitkan dirinya, rakan baiknya, Taylor Swift dan isteri bekas teman lelakinya, Justin Bieber.
Kata Gomez, dia tidak akan meminta maaf kerana menjadi dirinya sendiri dan gembira dikelilingi oleh ramai rakan baik dan peminat setia yang menyokongnya.
"Saya akan mengambil masa untuk berehat dari media sosial kerana apa yang berlaku sekarang agak bodoh dan saya sudah berumur 30 tahun. Saya terlalu tua untuk ini semua.
"Tetapi saya sangat menyayangi anda semua dan saya akan berjumpa dengan anda semua nanti. Saya hanya perlu berehat seketika," katanya dalam sesi live berkenaan.
Gomez juga telah menyahaktifkan akaun TikToknya. Bagaimanapun, akaun Instagramnya masih aktif.
Kontroversi bermula awal Khamis apabila sebuah video lama dimuat naik ke sebuah akaun TikTok, menunjukkan Hailey dan Method Man, yang ketika itu merupakan hos rancangan Drop The Mic, berbincang mengenai lagu-lagu Swift.
Method Man mengusik Hailey dengan lirik sebuah lagu tentang seorang selebriti dalam album Swift, dengan Hailey membuat aksi seakan-akan mahu muntah.
Kapsyen pada itu video menyebut "Inilah Hailey Bieber yang sebenar," mengecam Hailey sebagai 'pembuli' dan 'gadis jahat.'
Gomez kemudiannya meninggalkan komen pada video itu dengan mempertahankan Swift dan muziknya.
"Maaf, kawan baik saya adalah yang terbaik dan akan terus menjadi salah satu yang terbaik dalam industri," tulis Gomez.
Gomez dan Swift telah berkawan baik sejak 2008.
Gomez juga pernah menjalin hubungan selama hampir lapan tahun dengan Justin Bieber, sebelum bintang pop itu mengahwini Hailey.