Saya sudah maafkan orang yang sebar 'berita kematian' saya - Mr Os

Astro Awani
Mac 26, 2015 13:12 MYT
MR OS: Saya sudah maafkan orang yang sebarkan berita kematian saya. -Gambar fail
Pelawak dan pelakon terkenal Mr Os sudah memaafkan individu yang menyebarkan berita palsu tentang 'kematiannya' malam tadi.
Mr Os, atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid berkata, berita 'kematiannya' yang menjadi viral itu sebaliknya ada kebaikan tersendiri.
"Pertamanya, ia membuatkan saya lebih mengingatkan tentang kematian dan membuatkan saya lebih memikirkan kepada beribadat serta tidak leka.
"Saya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan berita palsu itu.
"Keduanya, kepada peminat-peminat saya, ia memberi pengajaran supaya memastikan apa-apa berita sekalipun, tentang sesiapa sahaja, ia perlu disahkan benar atau tidak," katanya kepada Astro AWANI.
Pada 14 Mac lalu, pelawak terkenal itu dimasukkan ke Hospital Selayang selama lapan hari dan menjalani pembedahan tonsil.
Mengulas mengenai keadaan kesihatannya, Mr Os menjelaskan dia kini beransur pulih selepas menjalani rawatan dan masih berehat.
"Mungkin bila berita kematian saya itu diviralkan, ramai yang sedekahkan al-Fatihah, dan kerana berkat al-Fatihah itu, saya semakin sembuh," katanya lagi.
#berita palsu #kematian #maafkan #Mr Os #tonsil
;