"Saya sudah maafkan Janna, tapi..."- Sheila Rusly

Astro Awani
Februari 27, 2019 12:36 MYT
Sheila Rusly sudah lama maafkan Janna Nick, namun sukar melupakan apa yang dilakukan pelakon itu pada dia dan keluarganya. - Gambar fail
PELAKON Janna Nick barangkali tidak perlu gusar sekiranya permohonan maaf yang dibuat secara terbuka tidak diterima Sheila Rusly.
Ini kerana, penerbit dan pelakon popular itu sudah lama memaafkan anak didiknya itu.
Kepada Astro AWANI, Sheila berkata, sebagai umat Islam dan sebagai manusia, beliau menyedari bahawa memaafkan orang lain tidak sesekali menjatuhkan ego atau maruah dirinya.
Apa lagi, jika yang memohon maaf itu, kata Sheila, menyedari kesilapan dan kelemahan dilakukan.
"Alhamdulilah dia (Janna) sudah sedar kesilapan dia.. saya sudah maafkan tapi bagi saya masa untuk hadam apa yang dia sudah buat pada saya dan keluarga," kata Sheila yang juga isteri kepada Azman Yahya atau lebih dikenali sebagai Jinggo.
Pada Selasa, Janna, 24, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sheila jika benar-benar dia telah menggores hati penerbit dan pelakon itu.
Menurut Janna, Sheila sudah dianggap sebagai ibu, guru dan juga senior di dalam industri dan kerana itu dia enggan mengeruhkan keadaan.
Menurut Sheila lagi, secara jujurnya, kemelut yang tercetus antara dia dengan Janna tidak ada kaitan dengan kerja-kerja pembikinan drama Leftenan Zana.
"Apa yg terjadi ini tidak ada kena mengena dengan Leftenan Zana. Hal keluarga yang terlalu peribadi untuk sis (panggilan mesra buat Sheila) kongsi," ujarnya lagi.
Sebagai seorang manusia yang berjiwa besar, Sheila juga memilih untuk berdiam diri dan tidak berkongsi punca sebenar kemelut yang tercetus antara mereka berdua.
Kata Sheila, biarlah kepahitan itu ditanggungnya sendirian bersama keluarga dan dia tidak pernah terfikir untuk berkongsinya dengan masyarakat.
"Biarlah Allah sahaja yang tahu," ujarnya ringkas.
Ditanya apakah dia sudah memiliki kekuatan untuk bertemu dengan Janna, Sheila berkata, pada masa ini tidak timbul isu mengenai sama ada mahu bersemuka atau sebaliknya.
"Seperti yang saya katakan, saya memerlukan masa untuk menghadam apa yang sudah dilakukan dia pada saya," kata Sheila sambil memberitahu dia sudah meneruskan hidupnya.
Hubungan akrab yang terjalin antara Janna dengan keluarga Sheila sudah diketahui ramai. Kedua artis berkenaan seperti keluarga kandung.
Baik Sheila dan Janna juga sebelum ini sering memuat naik foto bersama di laman sosial masing-masing sehinggalah tercetus konflik dalam perhubungan mereka, tiada lagi sebarang paparan kelihatan di Instagram mereka.
BACA: Saya minta ampun pada Allah: Janna Nick
#Janna Nick #Leftenan Zana #pelakon #penerbit #Sheila Rusly
;