'Saya serahkan kepada peguam' - Fattah Amin terima surat saman dari Fazura
Gempak
Disember 9, 2024 17:19 MYT
Disember 9, 2024 17:19 MYT
PELAKON dan penyanyi, Fattah Amin, mengesahkan sudah menerima notis tuntutan (LOD) daripada bekas isterinya, Nur Fazura berhubung kenyataan di mahkamah membabitkan isu kenderaan.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin berkata, notis berkenaan sudah dibalas dan diserahkan kepada peguam yang dilantik untuk urusan selanjutnya.
“Iya, saya ada terima LOD rasanya sekitar bulan lalu iaitu sebelum saya mengerjakan umrah. Saya pun kurang pasti tarikh sebenar.
“Saya serahkan kepada peguam untuk memberi balasan. Notis jawapan balas sudah diserahkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu tujuh hari bermula tarikh LOD diterima.
“Setakat ini, itu sahaja yang saya boleh kongsikan. Perkara seterusnya saya cuma tunggu sahaja di mahkamah,” katanya.
Fattah ditemui ketika majlis Sidang Media Entertainment yang berlangsung di restoran De. Wan 1958, Bangsar pada Isnin.
Bagaimanapun, Fattah enggan berkongsi secara terperinci mengenai kandungan surat yang diterima.
“Itu adalah urusan personal. Saya tak boleh kongsi, lebih baik saya simpan sendiri” jelasnya.
Terdahulu, isu kenderaan yang dihadiahkan Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin kepada aktor tersebut kembali menjadi bualan selepas difahamkan peguam bekas isterinya menyerahkan notis tuntutan yang disebutkan.
Ini kerana ketika sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada Oktober lalu, Fazura dalam satu kenyataan memberitahu dia menghadiahkan sebuah kereta untuk Fattah.
Membalas kenyataan tersebut, Fattah ketika itu menegaskan kereta itu bukan hadiah sebaliknya dia membayar ansuran bulanan menerusi potongan gaji.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 4 tahun.
Sementara itu bercakap tentang penglibatan dalam Usanita Entertainment, Fattah bersama pelakon Sophia Albarakbah akan diberi tabggungjawab sebagai wajah mempromosikan syarikat berkenaan.
Memberi fokus kepada bidang hiburan, kedua-dua mereka akan tampil dalam sebuah drama untuk siaran digital.
Drama arahan tersebut sebagai langkah mempromosikan produk usahawan di bawah Usanita. -- Gempak