'Saya sendiri nak pergi tengok' - Bertindih tarikh konsert, Aishah rela beralah demi peminat
Gempak
Mei 27, 2022 10:50 MYT
Mei 27, 2022 10:50 MYT
SEJAK kebenaran untuk melakukan aktiviti hiburan diberi oleh pihak kerajaan, ramai artis dilihat berpusu-pusu mengumumkan penganjuran konsert masing-masing.
Tidak terkecuali, penyanyi tersohor Datuk Aishah.
Bagaimanapun, ada keresahan yang bersarang dalam hati pelantun suara yang popular dengan lagu-lagu balada itu.
Konsert sulung Aishah iaitu "Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous" yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bertindih dengan konsert "Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022", iaitu masing-masing bakal diadakan pada 6 Ogos depan.
Pemilik nama lengkap Wan Aishah Wan Ariffin itu berkata, beliau sudah mencadangkan kepada pihak penganjur untuk menukar tarikh persembahannya kerana dia enggan melihat peminat-peminat berbelah bahagi untuk menyaksikan konsert artis kegemaran mereka.
“Ketika pihak DFP umum tarikh konsert minggu ni, saya ada beritahu yang adakah mereka tak kasihan melihat peminat akan berbelah bagi untuk pergi konsert yang mana satu?
“Bagi saya sendiri, saya tidak kisah kalau konsert saya dilewatkan seminggu atau dua minggu. Sebab sayang kita mesti tidak akan dapat sokongan penuh daripada peminat.
“Lagipun, saya sendiri nak pergi tengok,” katanya kepada Gempak ketika majlis pelancaran single terbaharunya 'Ketentuan Takdir' baru-baru ini.
Bagaimanapun, tambah Aishah, tidak timbul isu sama ada peminat akan datang atau tidak jika konsertnya berlangsung pada tarikh yang sama dengan Anuar dan Ziana Zain.
“Saya serah pada rezeki. Sebab kita tidak selalu buat konsert berskala besar seperti ini.
"Saya tunggu selama 35 tahun untuk konsert ini dan ketika dapat tarikh dulu, pandemik pula melanda dunia, kena tangguh dua tahun.
“Apa pun, saya tidak kisah kalau tarikh konsert ditukar pada tarikh lain. Tambahan pula tiket masih belum dijual dan berharap mendapat sokongan penuh daripada semua,” katanya lagi.
Aishah dijadual tampil dalam konsert yang dipimpin Ahmad Muriz menerusi konsert solo, Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous pada 6 Ogos, jam 8.30 malam.
*Artikel asal di Gempak