Saya sedar saya orang biasa, tak mahu melukakan mana-mana pihak lagi - Aida Azira
Gempak
April 4, 2023 09:45 MYT
April 4, 2023 09:45 MYT
Bekas isteri kepada Sam Bunkface, Aida Azira Hussin enggan memanjangkan kisah rumah tangganya dan mahu menyelesaikan segala urusan di mahkamah.
Jelas Aida, dia tidak mahu lagi memberikan sebarang respons terhadap dakwaan yang dilemparkan oleh Sam sebelum ini.
"Saya rasa saya tak nak komen apa-apa dah. Saya sedar saya orang biasa, saya tak ada pengaruh. Bagi saya, sekarang ini tak perlu untuk saya dedahkan perbualan WhatsApp atau sebagainya, tak perlu untuk saya panjangkan lagi perkara ini.
"Saya tak mahu melukakan mana-mana pihak lagi. Biarlah perkara ini diselesaikan oleh mahkamah, keputusan dihakimi oleh mahkamah. Saya hanya nak selesaikan dan tamatkan sahaja," katanya memetik laporan Xtra.
Ulas Aida lagi ketika ditanya perasaannya berdepan dengan kemelut rumah tangga dan turun naik mahkamah sejak beberapa tahun ini, dia mahu wanita memahami hak dan undang-undang di Malaysia.
"Tiada wanita yang mahu melalui perkara ini, jadi saya sendiri mahu menyelesaikan secepat mungkin dan berharap agar semuanya baik-baik sahaja.
"Kepada semua wanita di luar sana, tak kisahlah jika anda wanita bekerjaya, suri rumah, ibu tunggal, masih bergelar isteri atau tidak.
"Saya mahu setiap wanita faham undang-undang, faham hak anda sebagai wanita, sebagai ibu. Golongan wanita patut tahu sistem kehakiman kita. Hakim akan tahu hakikat sebenar, peguam akan tahu hakikat sebenar, orang sekeliling pun akan tahu juga nanti.
"Jadi, selagi boleh kita pertahankan, kita harus pertahankan hak kita. Ibu mana yang mahu berjauhan dengan anak. Segala keputusan saya buat adalah demi kepentingan dan kebajikan anak," ujarnya.
BACA: 'Saya tak pernah abai nafkah anak, siap bayar lebih' - Sam Bunkface bidas kenyataan bekas isteri
Terdahulu, pada 29 Mac lalu Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.
Aida tidak bersetuju dengan permohonan dibuat penyanyi terbabit, selain meminta bukti andai tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan seperti dikatakan.
Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida yang juga penerbit rancangan sebuah stesen televisyen pada 25 April 2015, namun bercerai empat tahun kemudian.
Sumber: Xtra