'Saya sedang belajar, doakan saya' - Siti Sarah
Gempak
Julai 10, 2018 08:10 MYT
Julai 10, 2018 08:10 MYT
PENAMPILAN terbaru penyanyi Siti Sarah selepas pulang dari mengerjakan ibadah umrah Ramadan lalu mengundang tanda tanya.
Bertemu dengan Sarah selepas majlis 'Siti Sarah Special Showcase' di Matic, Jalan Ampang baru-baru ini, penyanyi ini mempunyai jawapan tersendiri ketika ditanya mengenai penampilan terbaharunya yang mula mengenakan hijab dan turban.
"Saya sedang belajar. Insya-Allah. Saya mohon doa agar terus istiqamah. Saya tak berani janji tetapi saya mohon doa semua. Awalnya saya agak janggal, tetapi lama kelamaan sudah terbiasa.
"Setakat ini, saya selesa mengenakan turban ketika melakukan persembahan pentas dan saya selesa berhijab jika keluar ke rumah," kata Sarah.
Bercerita mengenai 'Siti Sarah Special Showcase' yang berlangsung pada Jumaat lepas, Sarah menganggap ini sebagai titik mula yang baik untuk kerjaya seninya.
"Alhamdulillah, showcase yang dibawa khas oleh produk Pinky Pinky yang diusahakan bersama suami serta kerjasama Indigital ini berjalan lancar. Syukur kerana showcase ini 'full-house'.
"Selepas sekian lama tidak muncul dengan persembahan sebegini, saya merasakan ini sebagai permulaan yang baik untuk melangkah lebih yakin dalam arena nyanyian," katanya.
Di acara tersebut, Sarah menyampaikan lagu popularnya seperti Jangan Kau Mimpi, Kesetiaan, Saat Hilang Cintamu, Ku Teruskan, Menari Denganku dan single terbarunya yang berjudul Semakin.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Sarah