"Saya sayang isteri.... akan lakukan apa sahaja untuk jernihkan keadaan"- Ikrar Farid Kamil
Nickyson Nyambar
Oktober 29, 2024 07:00 MYT
Oktober 29, 2024 07:00 MYT
KUALA LUMPUR: Aktor ternama, Farid Kamil mengakui masih lagi menyayangi isterinya, Diana Danielle dan akan melakukan apa sahaja untuk memulihkan semula hubungan mereka.
Menurut pelakon berusia 43 tahun itu dalam perkongsian di laman Instagramnya pada Selasa, Farid mengambil maklum keputusan isterinya itu untuk berpisah dengannya.
"Saya mendengar perkhabaran tersebut dan macam seperti semua orang maklum, saya sayangkan isteri saya, saya sayangkan anak-anak saya.
"Saya akan berusaha apa sahaja untuk menjernihkan keadaan kembali. Doakan yang baik-baik," katanya ringkas dalam video berkenaan.
Terdahulu, Diana membuat pendedahan secara tiba-tiba di laman media sosial mengenai hasratnya untuk bercerai dengan Farid.
"Saya telah mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami saya dan akan memfailkan perceraian.
"Tidak, saya tidak akan menjelaskan kenapa. Mungkin dia (Farid Kamil) seperti biasa (memujuk) dengan bunga dan cincin serta janji kosong.
"Semoga hidup anda bahagia," memetik kenyataan Diana yang dikongsi dalam bahasa Inggeris.
Kapsen Diana juga turut menyebut bahawa rujuk atau 'kembali berpasangan' bukan untuk semua orang dan meminta Farid agar melepaskannya dari rumah tangga mereka yang dikhabarkan dalam keadaan yang tidak baik.
Sebelum ini, Diana dan Farid pernah berhadapan dengan krisis rumah tangga yang berpanjangan sebelum disahkan bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka rujuk semula sebulan kemudian.
Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun.
Kisah perpisahan dan hubungan retak antara dua selebriti terkenal tanah air ini adalah yang terbaharu dan berlaku tidak lama semenjak kes perceraian aktres Fazura dan Fattah Amin serta Emma Maembong dan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Turut dilaporkan berpisah ialah pelakon terkenal, Que Haidar dan Linda Jasmin