Saya sangat terkejut, tidak tahu Acappan sudah tiada - Angeline Tan
Afiq Ariffin
September 14, 2018 14:34 MYT
September 14, 2018 14:34 MYT
Rakan seperjuangan mendiang Acappan, Angeline Tan menyatakan bahawa beliau sangat terkejut apabila dimaklumkan tentang berita kematian sahabatnya yang pandai melawak itu.
“Saya terkejut dan tidak tahu mengenai berita ini,” kata Angeline yang baru sahaja mendapat berita pemergian mendiang melalui panggilan telefon dari wartawan Astro AWANI pada Jumaat.
Berkongsikan pengalaman bekerja bersama-sama mendiang, Angeline menyatakan bahawa Acappan seorang yang tidak berkira kerana sering berkongsi idea bersama rakan sekerja dan sentiasa membuat yang terbaik dalam lakonannya.
“Dia adalah seorang yang yang sangat merendah diri dan ada kreativiti di dalam lawak. Dia juga sangat serba boleh kerana boleh berlakon, boleh menari di atas pentas dan melawak,” tambah aktres sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu lagi.
Acappan atau nama sebenarnya Samynathan Rethinam menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya kira-kira pukul 2.43 pagi di Taman Puchong Utama.
Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di rumah beliau kira-kira pukul 3 petang Jumaat.