'Saya rindu makanan pedas' - Siti Nurhaliza
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 20, 2017 20:35 MYT
Disember 20, 2017 20:35 MYT
Datuk Seri Siti Nurhaliza mengejutkan para peminatnya dengan berita kehamilannya pada Oktober lalu.
Susulan berita kehamilannya itu, Astro AWANI berpeluang menemu bual Siti tentang kondisi kandungannya yang kini telah mencecah enam bulan.
Menurut Siti, dia telah mengalami alahan terhadap makanan pedas dan makanan masam semasa bulan pertama kehamilannya.
“Saya suka makan pedas tetapi alahan ini telah menyebabkan saya merindui masakan pedas.
“Kini baru saya tahu apa yang ibu saya rasa untuk melahirkan lapan orang anaknya,” katanya semasa ditemu bual pada majlis pelancaran ‘CTDK-ation’di ibu negara pada Rabu.
Tambahnya lagi, kondisi kandungannya dalam keadaan baik. Hanya tinggal tiga bulan untuknya bergelar wanita hamil.
“Jika tiada apa-apa masalah, InsyaAllah semuanya (kandungan) akan berjalan seperti yang dijadualkan.
“Buat masa ini kami belum bersedia untuk berkongsi tentang jantina kandungan ini. Namun, saya tetap akan memberitahu orang ramai apabila semuanya telah cukup sifat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, kegirangan Siti Nurhaliza bercuti dengan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa kini akan dikongsi dengan peminat-peminat penyanyi berusia 38 tahun itu menerusi kaca televisyen anda.
Program realiti ini bakal memperlihatkan kepada penonton perjalanan percutian Siti bersama keluarganya.
Program 10 episod ini akan bersiaran setiap hari Jumaat bermula 29 Disember 2017 di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.