"Saya rasa seperti seekor ikan besar dalam kolam kecil" - Zamaera

Gempak
Februari 11, 2024 00:25 MYT
Pelancaran muzik video premiere party ‘Big Fish’ rasmi yang disampaikan oleh VSC akan berlangsung pada 24 Februari di lokasi rahsia dan menampilkan enam artis tempatan. - Gambar Gempak
Baru sahaja selesai menganjurkan acara Queendom Fest, sebuah festival muzik ‘all-female’ yang pertama di Malaysia, penyanyi rap dan penulis lagu, Zamaera, sempat menghasilkan single terbaharunya, ‘Big Fish’.
Lagu itu hasil nukilan Zamaera sendiri bersama penerbit muzik dan DJ asal Kuala Lumpur, Daaliah.
“Pertemuan tidak tersangka bersama Daaliah telah menghasilkan sebuah single yang sungguh bermakna buat saya sebagai permulaan 2024, kerana saya rasa seperti ‘seekor ikan yang besar dalam kolam yang kecil’," jelas pemilik nama sebenar, Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen, 28.
Sejurus kepulangan Daaliah dari siri jelajah muziknya di Eropah, Zamaera bertemu dengannya lalu berkongsi perasaannya sebagai anak seni di Malaysia yang sudah pun mencapai peringkat siling.
"Sebenarnya agak sukar bagi saya sebagai seorang pengkarya untuk tampil dengan diri yang asli, menampakkan jiwa saya yang sebenar kerana norma di sini yang agak konservatif.
"Saya seorang yang berfikiran terbuka, berani dan tidak mudah gentar jadi saya percaya saya akan lebih berkembang dalam kerjaya jika keluar dari zon selesa iaitu negara tersendiri dan lagu ini merupakan pengenalan buat saya sebagai artis ‘independent’ yang berusaha keluar dari ruangan selesa tersebut.
"Keseluruhan proses pembikinan single ini kaya dengan pengalaman berharga, Zamaera dan saya mempunyai persamaan di mana kami berdua adalah pengkarya ‘independent’, segala aspek dari penghasilan lagu ke rakaman muzik video dan pemsaran musik kesemuanya dilakukan penuh teliti, dan walaupun berdepan dengan cabaran, kami berjaya mengharunginya bersama-sama dan juga bekerja mengikut jadual.
"Karya ini diilhamkan daripada sub-genre muzik elektronik house, yang terkenal pada awal 90-an dari UK dikenali sebagai ‘Garage’ atau singkatannya UKG. Beberapa artis terkenal yang membuat muzik Garage ialah Craig David, Jorja Smith dan Wiley untuk menamakan beberapa," katanya.
Sebagai artis bebas yang tidak terikat di bawah mana-mana label pasti ada cabarannya tersendiri.
"Cabaran terbesar sebagai artis ‘independent’ setakat ini adalah membentuk sebuah pasukan yang jitu, kerana dengan pelbagai projek yang mendatang saya tidak menang tangan.
"Buat masa sekarang, saya hanya bekerja dengan para profesional berdasarkan sesebuah projek, tapi tidak berpanjangan. Saya seorang yang sangat mudah menyesuaikan diri tetapi apabila ia berkaitan dengan team saya, saya perlu sangat yakin dengan siapa saya mengamanahkan kerja saya. Walaupun prosesnya mungkin lebih lama, ia benar-benar berbaloi," ujarnya.
Pelancaran muzik video premiere party ‘Big Fish’ rasmi yang disampaikan oleh VSC akan berlangsung pada 24 Februari di lokasi rahsia dan menampilkan enam artis tempatan.
Acara ini adalah melalui jemputan sahaja namun peminat boleh berpeluang memenangi tiket melalui pengumuman khas di media sosial Zamaera dan Daaliah.
Lagu ‘BIG FISH’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music, manakala MV boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Zamaera. - Gempak
#big fish #media sosial #YouTube Music #nada dering
;