'Saya rasa malu, terkejut!' - Siti Saleha
Sinar Harian
November 15, 2018 12:44 MYT
November 15, 2018 12:44 MYT
PELAKON berdarah kacukan, Siti Saleha menegaskan tidak akan membawakan watak yang boleh mencetuskan kontroversi buat kali kedua.
Jelas Saleha, dia bersetuju untuk membawakan watak Tina, seorang remaja yang ego, pantang dicabar dan menyukai kaum sejenis di dalam filem Tujuh kerana mahu tampil dengan lakonan berbeza.
Namun akuinya, jika tawaran itu datang tahun lalu, dia pasti tidak akan sesekali menerimanya.
"Tawaran untuk membawakan watak Tina ini datang enam tahun lalu, masa itu darah muda, jadi saya tak fikir panjang dan hanya mahu berikan sesuatu yang berbeza.
"Tapi bila lihat kembali, saya sendiri rasa malu dan terkejut," katanya ketika ditemui semasa tayangan filem Tujuh, baru-baru ini.
Selain Saleha, Tujuh turut dibintangi Johan Asari, Aeril Zafrel, Riz Amin, Pekin Ibrahim, Cristina Suzanne, Marsha Milan, Faizal Hussein, Wan Hanafi Su, Azad Jasmin dan Dee Dee Nash.
Tujuh yang diarahkan Raja Mukhriz sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 November lalu.
Tambah Saleha, dia juga sudah menjelaskan watak lakonannya kepada suaminya, Ahmad Lutfi Azhar, 32, dan bersyukur suaminya itu memahami.
"Pada mulanya dia tanya juga kenapa saya setuju dan selepas saya jelaskan dia faham. Apa yang pasti, memang tidak akan ada lagi watak sebegini dan saya percaya, dia juga tidak akan setuju sekiranya saya mahu watak seperti ini," jelasnya.
Disebabkan wataknya itu dan plot jalan cerita yang agak berani, filem Tujuh tidak dibenarkan ditayang di negara Brunei.
Ditanya mengenai rujukan untuk membawakan watak Tina, Saleha berkata, dia tidak merujuk sesiapa, namun ada mengikuti kelas lakonan bersama Ellie Suriaty.
"Kalau untuk dapatkan feel tahun 70-an, saya ada tengok beberapa filem tapi untuk watak Tina, saya ikut apa yang saya mahu kerana saya sedar mempunyai suara yang agak lembut.
"Tapi dari segi gangguan dan sukakan wanita lain, saya ambil sedikit dari pengalaman saya ketika sekolah, di mana saya sering diganggu golongan seperti ini kerana saya bersekolah di sekolah perempuan," katanya yang mendedahkan babak paling mencabar dibuat adalah babak dirasuk.
Dalam perkembangan lain, Saleha berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama untuk slot Samarinda berjudul Jika Masih Ada Rindu, bersama Kamal Adli.
Selain itu, dia juga masih menanti tayangan filem lakonannya bahasa Inggeris pertamanya, The Spiral untuk ditayangkan di pawagam.
#Aeril Zafrel
#Brunei
#filem
#Johan Asari
#Marsha Milan
#Pekin Ibrahim
#Riz Amin
#Siti Saleha
#Tina
#tujuh
#Wan Hanafi Su