Saya pernah lalui penderitaan yang sama - Rita Rudaini
Sinar Harian
Mac 27, 2018 09:42 MYT
Mac 27, 2018 09:42 MYT
PELAKON popular, Rita Rudaini menjelaskan pertemuannya dengan Intan Liana Saleh hanya sekadar berkongsi pengalaman berhubung kes penceraian yang pernah dilaluinya.
Tambahan pula, selebriti berusia 41 tahun ini mengakui berkawan baik dengan pelakon, Nazia Mustafar yang juga merupakan biras kepada Intan Liana.
Jelasnya, Intan Liana pula merupakan adik kepada penyanyi, Roza Saleh yang juga dikenalinya.
“Pertemuan itu tiada unsur apa-apa motif lain pun. Saya ini jenis berkawan dengan semua orang.
"Lagipun, saya dah lama berkawan dengan Nazia dan saya juga kenal dengan Roza yang juga merupakan kakak kepada Intan Liana.
"Jadi, bila mereka minta bantuan saya, takkan saya mahu menolak pula kan?," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas pelancaran program Oh My Family, pada Isnin.
Katanya, Intan Liana hanya meminta khidmat nasihat dan pandangan terhadap tuntutan yang harus dilakukan di mahkamah syariah lantaran tidak berpengalaman.
"Ketika itu, dia bakal ke mahkamah syariah bagi kes lafaz cerai.
"Jadi, saya hanya berkongsi pengalaman turun naik mahkamah selama bertahun-tahun.
"Tapi, itu bukan bermaksud saya campur tangan masalah mereka," tegasnya.
Bagaimapun, pelakon drama bersiri Sehangat Asmara ini mengakui simpati dengan keadaan yang menimpa bekas isteri pemuzik bebas, Mohammad Radzi Abdul Wahid atau Ude itu.
"Jujurnya, saya kasihan dengan dia sebab dia memang tak tahu apa-apa. Lagipun, saya juga pernah melalui penderitaan yang sama sepertinya," katanya.
Terdahulu, Rita pernah memuat naik fotonya bertemu dengan Intan Liana beserta status: Saya pernah jadi isteri seperti dia, di laman Instagramnya (IG), baru-baru ini.
Akibatnya, ramai netizen beranggapan Rita menikam belakang sahabat karibnya, Izreen Azminda yang juga merupakan bekas madu Intan Liana.
"Awalnya saya hanya diamkan tapi bila dah semakin teruk saya kena tampil untuk cakap saya tiada kaitan dalam konflik rumah tangga mereka.
"Kadang-kadang, saya stress juga sebab saya ini sibuk dengan pelbagai urusan lain dan perkara ini pula melibatkan keadaan di sekeliling kita," katanya.
Intan Liana dan suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 22 Mac lalu.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua anak, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, setahun.
Difahamkan, konflik rumah tangga pasangan ini berlaku selepas Ude yang juga bernikah secara rahsia dengan Izreen pada 8 Ogos 2017.
Dalam perkembangan lain, Rita dan anak-anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna bakal menjayakan program terbaharu, Oh My Family.
Selain keluarganya, program ini turut menampilkan gelagat anak-anak Datuk Fazley Yaakob, Datuk Aaron Aziz, Azad Jazmin dan Aziz M. Osman.
Ia bakal bersiaran di saluran Astro Ria (104), Astro Ria HD (123) dan Astro Ceria (611) pada setiap Rabu, jam 9 malam bermula 11 April depan.
#anak
#Intan Liana Saleh
#Izreen Azminda
#mahkamah
#Mohammad Radzi Abdul Wahid
#pelakon
#penceraian
#perkahwinan
#Rita Rudaini
#Ude