'Saya okey saja' - Shuib tak kisah DS Vida tumpang kasih anak-anaknya

Gempak
Julai 28, 2022 12:29 MYT
Shuib Sepahtu tidak kisah jika usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida ingin menumpang kasih dengan anak-anaknya. -Gempak
PELAWAK Shuib Sepahtu tidak kisah jika usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida ingin menumpang kasih dengan anak-anaknya.
Menurut Shuib, dia tidak mempunyai masalah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Vida dan dalam masa yang sama, turut menghormati pendapat netizen mengenai hal berkenaan tersebut.
“Berkenaan dengan kenyataan Datuk Seri Vida tempoh hari, saya sebenarnya tidak kisah.
"Bagi saya, selagi ia tidak menyentuh hal-hal yang boleh menyakitkan hati atau sensitiviti mana-mana pihak, saya okey sahaja.
“Saya anggap ungkapan ingin menumpang kasih anak-anak Shuib itu sebagai ungkapan general sahaja.
"Saya tiada masalah dengan ungkapan berkenaan. Mungkin netizen berasa tidak selesa, tetapi saya okey sahaja. Sebab saya kenal dia,” katanya kepada Gempak.
Menurut Shuib, dia juga tidak menghalang jika ada pihak yang ingin berkongsi kasih sayang dengan anak-anaknya.
“Jujurnya, saya tak halang jika ada orang ingin berikan kasih sayang pada anak-anak… nak luangkan masa dengan mereka pun saya tak kisah, lebih-lebih lagi dengan orang yang saya kenal,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib turut berkongsi bahawa hubungan Datuk Seri Vida dengan arwah isterinya suatu ketika dahulu agak rapat.
Katanya, selepas pemergian isteri tercinta, arwah Siti Sarah, hal-hal berkaitan bisnes yang masih belum selesai diuruskan oleh mak mentuanya iaitu Mak De.
“Perjumpaan saya dengan Datuk Seri Vida tempoh hari berlaku di sebuah restoran ketika makan malam.
"Pada waktu siang, Datuk Seri Vida sudah bertemu dengan anak-anak saya, tetapi pada sebelah malam, dia hadir sekali untuk sesi makan malam tersebut.
“Memang buat masa ini urusan berkaitan bisnes yang dahulunya di kelolakan oleh arwah isteri saya diuruskan oleh Mak De. Jadi pertemuan itu kebetulan sahaja,” katanya lagi.
Terdahulu, netizen mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Vida yang ingin menumpang kasih dengan anak-anak Shuib iaitu Uwais, Talita dan Matin. -Gempak
#Datuk Seri Vida #Shuib #usahawan kosmetik #menumpang kasih #Shuib Sepahtu
;