'Saya nak kedamaian' - Yusof Haslam gembira Syamsul kembali ke pangkuan keluarga

Gempak
September 15, 2024 12:00 MYT
Yusof menzahirkan rasa syukur terhadap keterbukaan hati puteranya itu untuk balik ke pangkuan keluarga. -Gempak
PENGARAH terkenal, Datuk Yusof Haslam mendedahkan dirinya tidak mencampuri urusan perpisahan di antara Syamsul Yusof dan bekas isteri, Ira Kazar.

Ringkasan AI
  • Datuk Yusof Haslam tidak mencampuri urusan perpisahan antara Syamsul Yusof dan bekas isteri, Ira Kazar, dan menghormati pilihan anaknya.
  • Datuk Yusof Haslam gembira dengan kepulangan Syamsul ke pangkuan keluarga dan berharap hubungan mereka bertambah baik.
  • Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan penceraian Syamsul dan Ira Kazar pada 5 September lalu, dengan Syamsul pernah melafazkan talak satu kepada Puteri Sarah pada 14 Jun 2023.

Tak Masuk Campur Urusan Cerai
Menurut bapa kepada aktor filem KL Gangster tersebut, dia sentiasa menghormati pilihan yang dibuat oleh anak sulungnya itu dan tidak pernah berharap agar Syamsul berpisah dengan Ira.
“Tentang hal rumah tangga dia (Syamsul) saya tak campur. Sebab dia berkahwin tanpa pengetahuan kami dan perpisahan mereka pun tidak kami ketahui.
“Kami tak pernah rancang, dan saya tak pernah menyuruh anak saya untuk bercerai. Saya pun tak gembira, tapi itu pilihan dia, dan jikalau itu pilihannya, kita terpaksa reda,” katanya ketika ditemui Gempak.
Gembira Syamsul Balik Ke Pangkuan Keluarga
Mengulas lanjut tentang pertemuan semula dengan Syamsul baru-baru ini, Datuk Yusof Haslam atau nama sebenarnya Md Yusof Md Haslam menzahirkan rasa syukur terhadap keterbukaan hati puteranya itu untuk balik ke pangkuan keluarga.
“Alhamdulillah, Syamsul balik malam tu dan dia peluk mak dia, peluk saya, masing-masing bertentang mata.
“Saya nak kedamaian dalam kehidupan. Dan alhamdulillah dah dua hari berturut-turut dia datang untuk rasa masakan mak dia.
“Pada saya ia satu perkembangan yang baik. Saya nak hubungan saya dengan Syamsul baik, begitu juga hubungan saya dengan bekas menantu saya, Sarah,” jelasnya.
Datuk Yusof Haslam berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui selepas program realiti Kilauan Emas 2024 yang berlangsung di Royal Theater, Shah Alam pada Sabtu.
Terdahulu, isteri kepada Yusof Haslam, Datin Patimah Ismail sebelum ini berkongsi hantaran di Instagram memaparkan Syamsul kembali ke sisi keluarga.
Apa yang lebih menarik perhatian, bekas isteri kepada Syamsul, iaitu Puteri Sarah turut dapat dilihat bersama dalam foto berikut.
Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan Syamsul dan bekas isterinya iaitu Ira Kazar sah bercerai apabila wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Syamsul juga pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 namun perkahwinan sembilan tahun itu berakhir dengan penceraian apabila pengarah itu melafazkan talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5 tahun. -Gempak
#Yusof Haslam #Syamsul Yusof #Ira Kazar #kembali ke pangkuan keluarga
;