'Saya mohon maaf, tak pandai didik anak' - Ibu Haneesya
Sinar Harian
Januari 18, 2019 16:00 MYT
Januari 18, 2019 16:00 MYT
"SAYA memohon maaf... itu bukan salah dia, salah saya yang tidak pandai mendidik anak".
Demikian luahan sebak seorang ibu, Nor Sakuraneeda, berhubung kontroversi panas anaknya, Haneesya Hanee bekas juara Dewi Remaja musim baharu.
Menerusi paparan Facebooknya, dia mengakui Haneesya melakukan kesilapan sukar diterima oleh semua orang.
"Tetapi percayalah, kesilapan dilakukan itu adalah kerana dia terlalu tertekan dengan hidup menjadi anak yang sempurna.
"Tolong maafkan dia dan jangan ungkit aib dia... beri masa untuk saya perbaiki kesilapan dalam mendidik anak. Dia anak yang baik tidak pernah abai tanggungjawab sebagai anak," katanya.
Kata Nor Sakuraneeda, anaknya sentiasa berada dibelakangnya saat dia jatuh dan bangkit bersama jika ditimpa masalah.
"Dia selalu pimpin tangan saya naik dan turun tangga, saya juga pimpin tangan dia masa dia belajar dalam industri seni ini, kini masa saya untuk saya pegang tangan disaat dia jatuh bila ALLAH beri teguran.
"ALLAH bukan sengaja menegur dia dengan keras tapi kerana ALLAH sayang dia dan saya. Saya tidak leka jadikan dia Malaikat.
"Dan dia tidak leka jadi syaitan... berilah masa, ruang, peluang untuk kami berdua perbaiki kesilapan yang terjadi ini," luahnya.
Tidak menduga akan menerima ujian seberat ini, namun dia tetap tabah dan menzahirkan jutaan terima kasih di atas sokongan dari ahli keluarga dan penyokong.
"Kepada mereka yang sanggup datang kerana risau, hanya ALLAH sahaja mampu memberi kebaikan. Terima kasih masih percaya dan memberi peluang untuk Haneesya untuk buktikan dia bukan 'fake'.
"Tapi dia insan baik hati hanya menjadi mangsa ibu yang inginkan kesempurnaan yang terbaik buat anaknya ...Maafkan saya," tambahnya.