"Saya minta maaf kerana terpaksa pergi dahulu" - Aktres Korea, Yoo Joo-eun meninggal dunia

Agensi
Ogos 29, 2022 14:30 MYT
Aktres Korea Selatan, Yoo Joo-eun meninggal dunia pada usia 27 tahun.
SEOUL: Aktres Korea Selatan, Yoo Joo-eun meninggal dunia pada usia 27 tahun.
Perkara itu disahkan abangnya melalui hantaran di akaun Instagramnya pada Isnin.
"Pada 29 Ogos 2022, Joo-eun meninggalkan dunia ini untuk ke tempat yang lebih baik. Jika anda mempunyai masa, doakan dia dalam perjalanannya," tulis abangnya.
Turut dikongsikan adalah nota terakhir Joo-eun, yang disiarkan atas permintaan terakhir Joo-eun.
Tidak lama selepas itu, akaun tersebut dinyahaktifkan.
Media Korea berkongsi kandungan nota itu, yang berbunyi: "Saya minta maaf kerana terpaksa pergi dahulu, terutamanya kepada ibu, ayah, nenek dan abang saya."
Dia menambah, minatnya terhadap bidang lakonan adalah satu rahmat dan lakonan adalah segala-galanya bagi dirinya.
"Saya benar-benar mahu berlakon. Mungkin itu segala-galanya dan menjadi sebahagian daripada diri saya. Tetapi bukan mudah untuk menjalani kehidupan itu.
"Saya tidak mahu melakukan apa-apa lagi. Saya sudah putus asa. Ia adalah satu rahmat untuk mahu melakukannya tetapi saya juga menyedari minat mendalam itu juga adalah satu sumpahan," tulis Joo-eun dalam nota itu.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan-rakannya atas kasih sayang dan sokongan mereka, sambil menambah bahawa mereka adalah kekuatannya untuk bertahan selama ini.
Joo-eun memulakan kerajaya lakonannya dalam drama Big Forest pada 2018 dan terkenal dengan peranannya dalam Joseon Survival Period bersama Kang Ji-hwan, Kyung Soo-jin dan Song Won-seok.

* Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma.
#Yoo Joo-eun #pelakon #Korea Selatan #bunuh diri
;