"Saya minta diri dulu, maafkan saya..." - Elton John gagal teruskan persembahan akibat pneumonia
AFP
Februari 17, 2020 12:40 MYT
Februari 17, 2020 12:40 MYT
PENYAKIT radang paru-paru yang sedang dihadapi penyanyi legenda dunia, Elton John menyebabkan seniman itu tidak mampu beraksi lebih lama di pentas pertunjukkan.
Pada usia 72 tahun, penghibur itu mengakui, staminanya semakin terbatas.
Kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan juga menyebabkan penyanyi terkemuka British itu terpaksa memendekkan tempoh konsertnya di New Zealand pada Ahad malam.
Sambil memohon maaf kepada peminat, bintang tersohor itu mendedahkan , berkata dia kini sedang menghidapi penyakit berkenaan di peringkat awal.
Ketika membuat persembahan di Stadium Mount Smart, Elton dilaporkan berusaha menghabiskan nyanyiannya sambil bermain piano.
Selepas diperiksa oleh pegawai perubatan, Elton tekad untuk meneruskan persembahan menerusi dua buah lagu sebelum akhirnya mengumumkan bahawa dia tidak mampu untuk meneruskan persembahan.
“Saya tidak boleh menyanyi. Saya tiada suara.
“Saya minta diri dulu. Maafkan saya,” katanya tercungap-cungap kepada pengunjung konsert.
Jelasnya menerusi perkongsian di Twitter, walaupun sebelum ini telah disahkan menghidapi radang paru-paru, namun dia tetap bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik.
“Saya bermain piano sambil menyanyi dengan sepenuh hati sehingga saya tidak dapat mengeluarkan suara.
"Saya amat kecewa. Saya sudah cuba untuk berikan yang terbaik,” tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP.
Elton John ketika ini sedang mengadakan konsert jelajah dunia, “Farewell Yellow Brick Road” yang bermula pada 2018.
Jelajah itu dijadualkan akan berakhir tahun ini di London.
Elton sebelum ini pernah membatalkan konsert pada 2017 akibat serangan jangkitan bakteria ketika mengadakan konsert jelajah di Amerika Selatan.