'Saya menyesal' - Lan Pet Pet mohon maaf, janji bawa Pak Ya tunai umrah
Gempak
April 30, 2019 18:00 MYT
April 30, 2019 18:00 MYT
PELAWAK Lan Pet-Pet mengakui kesal dengan tindakan yang dilakukannya memukul pengawal keselamatan, Yahya Manap (Pak Ya) di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Menurut Lan, perkara yang berlaku itu adalah di luar kawalannya dan menyesal dengan apa yang terjadi.
“Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada Pak Ya di atas tindakan yang dilakukan oleh saya itu.
“Sebenarnya saya pelawak, nak marah orang ni bukannya mudah, tapi hari tu nak dijadikan cerita, Allah nak jadikan asbab perkara itu terjadi.
"Kesedaran saya timbul apabila berada di penjara selama sehari dan perkara itu membuatkan saya menyesal atas tindakan yang dilakukan.
“Jadi saya mahu membawa Pak Ya dan isteri menunaikan ibadah umrah pada bulan Disember ini.
“Saya berharap agar orang ramai dapat menghentikan kecaman terhadap saya dan keluarga kerana saya sudah menyesal dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Gempak.
Lan berkata demikian ketika ditemui pada majlis ‘Maafkan Kami’ Lan Pet Pet bersama Pak Ya di I-Cafe Bikestation Food Court, Shah Alam, Selangor pada Selesa.
Sebelum ini, pengawal keselamatan, Yahya Manap, 68, atau Pak Ya telah menamatkan persengketaan dengan Lan Pet Pet apabila mereka bersemuka pada 23 April lalu.
Dalam pertemuan hampir dua jam yang dihadiri keluarga dan sahabat baik kedua-dua pihak, permohonan maaf Lan Pet Pet disambut Pak Ya dengan hati terbuka.
Terdahulu pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Pak Ya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.
Lat Pet Pet mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Mayon Yusof atas kesalahan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati pada 6 April lalu.
Pelakon filem "Zombie Kampung Pisang" itu membayar denda diputuskan mahkamah.
#Acacia Park Desa Jati
#I-Cafe Bikestation Food Court
#Lan Pet-Pet
#Mahkamah Majistret Seremban
#majlis Maafkan Kami
#Mazlan Ahmad
#Pak Ya
#pukul pengawal keselamatan
#Yahya Manap