"Saya mahu bangkit kembali, bukan mengemis" - To'ki

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 29, 2020 11:00 MYT
To'ki yang berkunjung ke Astro AWANI berikrar untuk kembali membina kehidupan berbekalkan pengalaman dan ilmu yang dimilikinya.
Di sebalik kemasyhuran nama yang dibina, masyarakat lazimnya terpesona dengan kehidupan serba indah golongan selebriti.
Ketika sebilangan besar artis mendakap kemasyhuran dan kekayaan, sebetulnya masih ada dalam kalangan mereka yang hidup dalam serba kesulitan.
Sekalipun, pernah berada di puncak, namun, kegemilangan itu hanya sementara buat penyanyi dan komposer To'ki.
Bukan mahu mengeluh, tetapi kehidupan yang dilaluinya hari ini bukan sesuatu yang mudah buat artis yang pernah popular dengan lagu Biasan itu.
Meneruskan hidup dalam serba kekurangan dalam sebuah 'pondok' di pinggir Batu 12, Gombak, To'ki atau nama sebenarnya, Mohd Zaki Mansur tidak pernah kesal dengan takdir yang ditentukan buatnya.
Mengakui bukan mudah untuk kembali bangkit dan memperbaiki kehidupannya, namun, To'ki percaya berkat usaha yang gigih serta dengan izin Yang Maha Esa, dia percaya segala perancangannya tidak mustahil untuk dicapai.
Dalam masa sama, To'ki tidak pula mengharapkan belas kasihan masyarakat, sebaliknya, dia mahu berdiri di atas kekuatan dirinya sendiri.
“Kalau kita memiliki ilmu sampai satu masa kalau Allah kata jadi maka jadilah ia.Tempoh yang ditunggu (terkandas dalam industri muzik) itu dari dulu lebih kurang 13 tahun hampir berakhir.
"Kalau dulu kita tidak tahu nak ke mana atau ke mana arah saya. Itu yang timbul cerita saya minta sedekah dan pelbagai cerita buruk mengenai saya.
“Ini adalah masa saya untuk tampil kembali dan semoga saya berjaya menempuhinya,” kata To'ki berkongsi cerita kehidupan serba sulitnya dengan Astro AWANI.
Dalam temu bual dengan To'ki, sebetulnya, banyak kisah yang cuba dirungkaikan terutama mengenai ranjau yang dilaluinya.
Namun begitu, sosok kecil itu nyata mahu melupakan kisah hitamnya ketika ini dan mahu bangkit kembali di persada hiburan.
To’ki sebenarnya tidak pernah berasa kecewa dalam kehidupannya ataupun industri muzik tanah air.
Malah dia sangat berbangga dengan perkembangan teknologi ketika ini yang membolehkan siapa sahaja boleh bekarya dengan lebih mudah.
“Kalau cakap pasal kehidupan,ye lah bukanlah mudah ketika ni. Tapi kita mesti terus lihat ke depan.Tak perlu kita terus ungkit kisah silam kerana kita tak boleh ubahpun.
"Ketika ini, saya terus cuba sedaya upaya untuk bangkit kembali dalam industri,” ikrarnya lagi.
Mengharungi liku kehidupan yang sukar dulu membuatkan To’ki ketika ini lebih kuat untuk bangkit kembali dengan berbekalkan pengalaman dan ilmu yang dimilikinya.
Sebagai seorang yang pernah mencipta lagu, lirik dan penerbit, To’ki mahu kembali ke dalam industri dengan kekuatan yang dimiliki dan menerima cabaran perkembangan semasa arus muzik semasa yang berbeza ketika zaman gemilangnya dahulu.
“Dengan teknologi yang ada sekarang ni, dengan medium yang ada seperti YouTube, Facebook dan sebagainya dengan apa yang saya ada ketika ni yang dah lama terkandas, maka kita kena ubah cara kita bekerja.
"Saya gabungkan dengan apa yang ada ini. Alhamdulillah, usaha saya yang sebelum ini agak suram kini mula menampakkan hasil,” cerita To’ki lagi.
To'ki kini muncul dengan dua single bertajuk Bukan Sekali dan Bayyati.
#air #Allah #Astro #Astro Awani #Cuba #Facebook #hiburan #Lagu #muzik #To'ki #YouTube
;