'Saya juga buat kesilapan' - Nyanyian dikecam, Syafinaz Selamat terbuka terima kritikan
Media Hiburan
Oktober 24, 2023 16:56 MYT
Oktober 24, 2023 16:56 MYT
PENYANYI dan juri tetap All Stars Gegar Vaganza, Datuk Syafinaz Selamat menerima segala kritikan dengan hati terbuka selepas ada yang mengecam susulan persembahannya di sebuah program TV baru-baru ini.
Ini kerana, ada di antara netizen berpendapat, figura seperti Syafinaz tidak sepatutnya membuat kesilapan di dalam nyanyian.
Jelas Syafinaz, kritikan tersebut langsung tidak menyakiti hatinya sebaliknya membuka ruang untuk memperbaiki diri.
“Sebagai penghibur, saya faham banyak pihak suka mengkritik. Tak mengapa dan saya terbuka menerima kritikan. Kalau saya rasa kritikan itu betul, saya terima dan perbaiki diri.
“Saya juga menilai diri sendiri. Apa sahaja yang anda katakan, ia tidak menyakitkan hati saya. Bila saya buat persembahan, saya akan lihat balik kesalahan saya.
“Kalau sesebuah kritikan itu tidak membantu, saya abaikan. Kalau kita biarkan kritikan itu menyakiti diri sendiri, itu kerana kita yang biarkan.
"Kita tak boleh hidup sebegitu,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Ingin Bersamamu itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai konsert ASGV yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Pada masa sama, Syafinaz memaklumkan semua pihak mempunyai pilihan sama ada untuk mendengar kritikannya atau tidak.
“Pada saya, muzik ini luas dan subjektif. Terpulang kepada anda untuk suka atau tidak. Saya okey dan selama ini, saya hidup dengan kritikan.
“Ketika saya duduk di kerusi juri, memang saya mengkritik tapi saya juga memberikan komen-komen positif dan solusi buat peserta.
“Ia merupakan pilihan mereka untuk mendengar atau tidak. Kita manusia dan tidak sempurna. Tak salah kita buat silap.
“Bila menilai diri sendiri, saya akui saya juga buat kesilapan,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Syafinaz turut memaklumkan dirinya kini masih lagi belajar untuk mamantapkan kualiti vokal nyanyianya.
“Saya sentiasa mencuba untuk sempurnakan hasil karya-karya saya. Sebab itu saya sentiasa belajar dan ambil kelas secara atas talian dengan guru oprah di Jerman.
“Tidak ada orang di Malaysia yang mampu bantu saya ketika ini. Saya gunakan kepakaran luar. Tidak kisah mengenai bayaran. Pada saya, ilmu itu sangat penting.
“Pada umur seperti ini, saya masih lagi belajar. Jadi, saya tak tahu kenapa orang lain tak nak belajar,” akhirinya. -Media Hiburan