"Saya hilang segalanya" - Soffi Jikan sebak hilang kawan
Gempak
Julai 11, 2018 16:00 MYT
Julai 11, 2018 16:00 MYT
SUDAH jatuh ditimpa tangga, itulah peribahasa yang sesuai untuk kehidupan pelakon Soffi Jikan selepas terpalit dengan beberapa siri kontroversi melibatkan penyalahgunaan dadah serta isu dengan aktor Datuk Farid Kamil.
Soffi atau nama sebenar Mohamad Shoffi Jikan mengakui tidak mendapat sebarang tawaran berlakon malah ada beberapa projek ditarik balik.
"Jujur saya bercerita, selepas apa yang berlaku saya hilang segala-galanya termasuklah tawaran berlakon dan kawan-kawan.
"Selepas kes berkenaan saya tidak mendapat tawaran berlakon. Kalau ada pun, tawaran tersebut dibatalkan tanpa penjelasan.
"Ada juga beberapa projek yang telah dipersetujui sebelum ini meminta saya menulis surat atas alasan menarik diri," kata Soffi.
Sofi ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DA Motion Media dan pelancaran filem Jodoh Syaitan di Lake Park Residence, Selayang.
Terdahulu, Sofi Jikan ditahan polis susulan laporan polis yang dibuat pelakon, Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.
"Saya juga tidak boleh terbabit dalam sebarang program di kaca televisyen. Saya tidak pasti sama ada nama disenarai hitam kerana tidak ada hitam putih. Saya pulak jenis malas nak bertanya dan tidak suka merungut. Nak buat saya, buatlah.
"Dalam masa sama, kawan juga ramai yang lari. Kalau saya hubungi atau menghantar mesej, mereka tidak jawab. Dari situ saya tahu siapa kawan sebenar.
"Walaupun tiada tawaran berlakon, saya tetap positif kerana percaya kepada rezeki.
"Buat masa ini, rezeki saya ke arah perniagaan. Saya lebih fokus kepada perniagaan Bitcoin dan minyak wangi," katanya kepada Gempak. - Teks Oleh: Noor Zulaikha Yusof