'Saya dicerai tanpa sebab' - Nora Ariffin
Saharudin Musthafa
Ogos 13, 2024 08:00 MYT
Ogos 13, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Nora Ariffin mendakwa lafaz cerai oleh suaminya, Dr Rushdi Ramli dibuat tanpa kerelaan.
Dakwa penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Dendam Dalam Diam itu, Rushdi dipaksa melafazkan talak dan diminta merakamkan aksi itu melalui video untuk dijadikan bukti.
"Ustaz (suami) dipaksa ceraikan saya tanpa sebarang sebab dan diminta ambil video sebagai bukti supaya semua orang tahu," katanya kepada Astro AWANI melalui aplikasi WhatsApp.
Nora, 51 tahun, bagaimanapun, memilih berdiam diri ketika ditanya siapa individu yang didakwa memaksa bekas suaminya itu berbuat demikian.
Dalam masa sama, Nora tidak menyalahkan Rushdi atas perpisahan yang terjadi itu.
"Ustaz tidak bersalah. Dia hanya mengikut arahan yang diberikan padanya iaitu melepaskan saya tanpa sebab dan merakam video sebagai bukti.
"Saya tergamam tidak terkata. Cukuplah Allah bersamaku," katanya dalam hantaran InstaStory di akaun Instagram peribadinya sambil menyertakan emoji tangan sedang berdoa.
Semalam, Nora mengejutkan industri hiburan apabila berkongsi video beliau diceraikan oleh Rushdi, yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Figh & Usul, Universiti Malaya, di akaun Instagramnya.
Penyanyi itu, bagaimanapun, tidak menjelaskan butiran lanjut perceraian itu, sebaliknya meluahkan rasa syukur atas apa yang berlaku.
Nora dan Rushdi mendirikan rumah tangga pada 2021 dalam majlis tertutup.
Rushdi merupakan sahabat karib arwah suami pertama Nora, Allahyarham Johan Nawawi.
Nora dan Allahyarham Johan mendirikan rumah tangga pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Johan bagaimanapun, meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung.
Sementara pada 13 Disember 2019, Nora kehilangan anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang berusia 20 tahun.